Skip to main content

Politik

Onn Hafiz hargai sumbangan bekas Exco, sifatkan rombakan sebagai proses penyegaran

JOHOR BAHRU, 18 Julai -- Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bergambar dengan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu pada sidang media pengumuman barisan ahli majlis itu di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana hari ini._BERNAMA
Onn Hafiz merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat bekas Exco bagi penggal 2022-2026 atas segala pengorbanan, masa, tenaga dan buah fikiran yang dicurahkan sepanjang memikul amanah berkenaan. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Rombakan pentadbiran Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor (Exco) ialah sebahagian daripada proses kesinambungan dan penyegaran pentadbiran, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau, bagaimanapun berkata langkah itu sama sekali tidak memadamkan segala sumbangan yang dicurahkan barisan kepimpinan terdahulu.

Onn Hafiz berkata perubahan kedudukan dalam barisan Exco juga ialah lumrah dalam usaha memacu negeri ke tahap yang lebih baik demi kemakmuran Bangsa Johor.

"Amanah untuk Johor tidak pernah terhenti pada sesuatu jawatan. Saya percaya pengalaman, kebijaksanaan dan semangat untuk berkhidmat akan terus menjadi kekuatan dalam usaha kita bersama-sama membawa Johor ke tahap yang lebih baik," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat bekas Exco bagi penggal 2022-2026 atas segala pengorbanan, masa, tenaga dan buah fikiran yang dicurahkan sepanjang memikul amanah berkenaan.

Onn Hafiz berkata setiap pencapaian yang diraih oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh tersebut turut terbina daripada sumbangan, komitmen dan kerja keras mereka. 

"Segala jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada negeri serta Bangsa Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai," katanya.

Beliau, pada masa sama, menzahirkan rasa bangga atas semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan berkenaan dalam mendepani pelbagai cabaran serta memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Barisan Exco Johor bagi penggal baharu menyaksikan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan, selain empat muka baharu dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

Empat bekas Exco bagi penggal sebelum ini ialah Datuk Zahari Sarip, K. Raven Kumar, Aznan Tamin dan Khairin-Nisa Ismail.

Kesemua 10 Exco bagi penggal baharu mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Bukit Serene, di sini semalam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement