Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] PRN Johor: Justifikasi Perlembagaan, demokrasi dan mandat baharu rakyat

Onn Hafiz Ghazi, Bubar Parlimen
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi wajar dianggap paling berani disebabkan paling awal berbanding berbanding negeri-negeri yang lain. - Gambar Astro AWANI

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun 2026 wajar dianggap paling berani disebabkan paling awal berbanding berbanding negeri-negeri yang lain.

Kalau dinilai secara objektif dalam kerangka perlembagaan negeri, khususnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, serta amalan demokrasi berparlimen, ia suatu yang dibenarkan. 

DUN masih dibubarkan sebelum tamat tempoh maksimum manakala tempoh lima tahun DUN bukanlah tempoh wajib yang mesti dihabiskan secara mutlak.

Ia malah mendapat perkenan Tuanku, selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan sebagai institusi penting dalam struktur pemerintahan negeri.

Ini sekali gus menzahirkan fungsi semak dan imbangan institusi Raja dalam kerangka pemerintahan negeri.

Dalam konteks Johor, mandat DUN semasa sepatutnya berakhir pada 21 April 2027. 

Apabila pembubaran dibuat pada 1 Jun 2026, ini bermakna DUN Johor dibubarkan kira-kira 10 bulan 20 hari lebih awal daripada tempoh matang automatik. 

Dari sudut politik perbandingan, tempoh ini tidak boleh dianggap luar biasa atau ekstrem. 

Malah, ia masih berada dalam lingkungan munasabah jika dibandingkan dengan precedent pilihan raya negeri sebelum ini.

Precedent paling jelas adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 yang diadakan selepas pembubaran DUN selepas 2 tahun 10 bulan lebih awal daripada tempoh tamat mandat.

DUN Sabah ketika itu mempunyai tempoh hayat mandat sehingga 11 Jun 2023, namun telah dibubarkan pada 30 Julai 2020. 

Pembubaran tersebut berlaku selepas kemelut politik negeri dan usaha membentuk kerajaan baharu melalui perubahan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Namun, penyelesaian akhirnya bukan melalui rundingan elit semata-mata, tetapi dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui PRN.

Dalam kes Sarawak pula, keadaannya berbeza tetapi penting sebagai rujukan perlembagaan. 

Tempoh hayat DUN Sarawak berakhir pada 6 Jun 2021, namun pembubaran dan pilihan raya tidak berlaku secara biasa kerana tertakluk kepada keadaan luar biasa, iaitu Proklamasi Darurat akibat pandemik COVID-19. 

DUN Sarawak hanya dibubarkan kemudian pada 3 November 2021, selepas Proklamasi Darurat berkaitan Sarawak ditarik balik. 

Ini menunjukkan bahawa tarikh pilihan raya negeri bukan sekadar ditentukan oleh kiraan matematik lima tahun, tetapi disebabkan keadaan Perlembagaan, kestabilan pentadbiran dan keperluan semasa.

Berdasarkan dua precedent tersebut, pembubaran awal DUN Johor tidak boleh disifatkan sebagai tindakan yang bercanggah dengan demokrasi. 

Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada mekanisme demokrasi itu sendiri. 

Dalam demokrasi, kerajaan yang membubarkan DUN lebih awal sebenarnya tidak memanjangkan kuasa, tetapi memendekkan tempoh kuasa sedia ada dan menyerahkan semula keputusan kepada rakyat. 

Dari sudut akademik, ini boleh difahami sebagai proses pembaharuan mandat, iaitu usaha mendapatkan semula legitimasi politik melalui mandat baharu daripada rakyat.

Lebih penting, keperluan mendapatkan mandat baharu menjadi semakin signifikan apabila negeri dan negara sedang menempuh suasana ekonomi global yang mencabar. 

Ketidaktentuan geopolitik, tekanan kos sara hidup, persaingan pelaburan serantau, perubahan rantaian bekalan global, serta cabaran fiskal dan pembangunan memerlukan kerajaan negeri yang mempunyai mandat jelas, stabil dan kukuh. 

Dalam keadaan sedemikian, PRN bukan sekadar pertandingan politik, tetapi satu proses demokratik untuk membentuk kerajaan negeri yang memiliki keabsahan baharu bagi membuat keputusan besar demi kepentingan rakyat.

Oleh itu, pembubaran DUN Johor boleh dilihat sebagai langkah untuk memperbaharui mandat rakyat sebelum negeri memasuki fasa cabaran ekonomi yang lebih kompleks. 

Mandat baharu diperlukan supaya kerajaan negeri yang terbentuk selepas pilihan raya mempunyai kekuatan moral, politik dan pentadbiran.

Ini penting, demi melaksanakan dasar pembangunan, menarik pelaburan, mempertahankan kebajikan rakyat dan memastikan kesinambungan agenda ekonomi negeri. 

Tanpa mandat yang kukuh, kerajaan negeri berisiko berdepan ketidaktentuan politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, kelancaran pentadbiran dan fokus terhadap agenda rakyat.

Hujah bahawa pembubaran Johor berlaku ‘terlalu awal’ juga tidak kukuh apabila dibandingkan dengan Sabah yang dibubarkan hampir tiga tahun sebelum tempoh matang.

Bagaimanapun, tidak mustahil pembubaran ini dibuat memandangkan para pesaing politik dilihat berada dalam keadaan tidak stabil dalam meraih undi dalam PRN kelak.


  • Dr Zulkifli Khair ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
     

Must Watch Video

Advertisement