PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Titiwangsa dan Pengarah Komunikasi AMK Wilayah Persekutuan, Fathin Amelina Fazlie, mengumumkan peletakan jawatan dan keluar PKR berkuat kuasa hari ini.
Fathin Amelina berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil pertimbangan yang panjang dan mendalam.
"Saya merasakan perjuangan parti hari ini semakin jauh tersasar daripada semangat asal reformasi, prinsip keadilan dan idealisme yang pernah saya yakini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan serta rakan seperjuangan atas ruang dan peluang yang diberikan untuk belajar, berkhidmat dan memulakan perjalanan politik sepanjang saya berada dalam parti ini.
“Patah tumbuh, hilang berganti. Namun, prinsip dan maruah perjuangan tidak harus dijual beli,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Tindakan keluar parti itu menyusul selepas bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil langkah untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing serta meninggalkan PKR berkuat kuasa hari ini.