WASHINGTON: Rakyat Amerika Syarikat (AS) terlebih bayar lebih daripada AS$40 bilion untuk petrol berikutan peningkatan harga sejak pelancaran operasi terhadap Iran, menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Brown pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Setakat 18 Mei 2026, pengiraan kami menunjukkan yang rakyat AS membelanjakan lebih AS$40 bilion bagi kos tambahan petrol dan diesel, melebihi apa yang mereka bayar pada Februari," menurut kajian itu.
Pengiraan itu menunjukkan yang jumlah keseluruhan lebihan bayaran mencecah AS$41.8 bilion di peringkat nasional atau AS$319 bagi setiap isi rumah.
Dana ini sepatutnya boleh menampung kos satu program pembaharuan infrastruktur pengangkutan di AS, menurut kajian itu.
Secara khususnya, wang berkenaan mencukupi untuk membiayai Program Pelaburan Jambatan persekutuan, yang bertujuan memodenkan lebih 10,000 jambatan di seluruh negara.
Jumlah itu juga melebihi kos pelan pemodenan kawalan trafik udara AS yang dianggarkan bernilai AS$31 bilion dan adalah dua kali ganda kos program stesen pengecas kenderaan elektrik yang diluluskan oleh pentadbiran bekas Presiden AS Joe Biden.
Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, yang mengakibatkan kemusnahan dan kemalangan jiwa dalam kalangan orang awam.
Pada 7 April, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu.
Rundingan susulan di Islamabad berakhir tanpa sebarang keputusan dan Presiden AS Donald Trump melanjutkan tempoh penghentian permusuhan bagi memberi masa kepada Iran untuk mengemukakan "cadangan yang bersatu".
Ketegangan yang semakin meruncing itu hampir melumpuhkan pergerakan kapal di Selat Hormuz, laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus melonjakkan harga bahan api.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI