MELAKA: Satu perjumpaan antara ibu bapa dengan pihak sekolah akan diadakan dalam masa terdekat susulan isu kain rentang yang didakwa menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan terhadap pengetua sebuah sekolah menengah di Jasin, di sini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata siasatan awal mendapati segelintir ibu bapa tidak berpuas hati dengan tindakan tegas pengetua sekolah berkenaan dalam menangani isu datang lewat dan ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata pengetua yang mula berkhidmat di sekolah itu sejak dua tahun lepas mengambil tindakan menutup pintu pagar sekolah pada 7.30 pagi dan langkah tegas itu dipersetujui dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum ini.
"Setakat ini, kita mengenal pasti 12 pelajar yang kerap datang lewat ke sekolah terdiri daripada seorang pelajar tingkatan dua, tingkatan tiga (lima orang), tingkatan empat (empat orang) dan tingkatan lima (dua orang).
"Pihak sekolah tidak pernah menghalang pelajar datang ke sekolah atau menafikan hak mereka untuk belajar dan ruang rundingan sentiasa dibuka kepada ibu bapa sekiranya terdapat kesukaran untuk pelajar ke sekolah," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Rahmad berkata sekolah menengah itu yang mempunyai 663 pelajar merekodkan jumlah kehadiran pelajar paling rendah.
"Berdasarkan statistik, sebanyak 1,550 kes ponteng direkodkan di sekolah berkenaan bagi tempoh Januari hingga April lepas dengan purata tidak hadir harian sebanyak 23 orang atau 90.27 peratus.
"Purata pelajar yang tidak hadir ke sekolah antara satu hingga 10 hari ialah 429 orang, 11 hingga 20 hari (88 orang), 21 hingga 30 hari (14 orang) dan lebih 30 hari (19 orang)," katanya.
Rahmad berkata pendekatan yang dilaksanakan pengetua itu berjaya meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah kepada lebih 90 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan tersebut dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa dan pelajar terhadap isu ponteng sekolah.
Sebelum ini, tular gambar kain rentang yang digantung di Jasin yang menggesa KPM mengambil tindakan tegas terhadap pengetua sebuah sekolah menengah di daerah itu kerana didakwa bermasalah selain menghalau murid yang hadir ke sekolah dan menafikan hak murid untuk belajar.
-- BERNAMA