Skip to main content

Politik

Kemelut politik Melaka: Anwar belum terima maklum balas DAP

Foto Shahir
Anwar menghadiri Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan 'A Celebration of Life and Peace' anjuran ERM Foundation di sini, pada Rabu. - Gambar Astro AWANI/ Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kepimpinan DAP Melaka berhubung keputusan parti itu untuk keluar daripada kerajaan negeri.

Namun kata Perdana Menteri, perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat.

"Itu akan follow up nanti, soon. Belum... belum... Saya lepas pagi tadi di Parlimen," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan A Celebration of Life and Peace anjuran ERM Foundation di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, Anwar meminta DAP Melaka mempertimbangkan semula keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara itu wajar dirundingkan, dan beliau memaklumkan sudah mengadakan perbincangan mengenainya dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Anwar turut menyatakan keyakinan isu berkenaan dapat diselesaikan melalui rundingan antara semua pihak yang terbabit.

DAP Melaka semalam mengumumkan keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Ia selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut mengumumkan semua wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Must Watch Video

Advertisement