Skip to main content

Politik

PRN Johor: 'Jangan fitnah BN dalam isu vandalisme kempen'

BN,nafi
Md Israk Abdullah berkata, parti itu tidak pernah mengarahkan, menggalakkan atau merestui sebarang tindakan vandalisme terhadap bahan kempen mana-mana parti politik.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Johor menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan parti itu dalam insiden kerosakan bendera dan bahan kempen Pakatan Harapan (PH) yang berlaku sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

Ketua Penerangan BN Johor, Md Israk Abdullah berkata, parti itu tidak pernah mengarahkan, menggalakkan atau merestui sebarang tindakan vandalisme terhadap bahan kempen mana-mana parti politik.

Menurut beliau, BN Johor kekal berpegang kepada prinsip berkempen secara matang, berfakta dan berdisiplin demi memastikan proses demokrasi berjalan dalam suasana aman dan harmoni.

"Segala bentuk provokasi dan perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan politik tidak mencerminkan pendirian serta budaya politik yang diamalkan oleh BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Israk berkata, pihaknya kesal sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap insiden berkenaan untuk memburukkan imej dan reputasi BN.

Beliau menegaskan, sebarang tuduhan yang dibuat tanpa bukti yang jelas adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengeruhkan lagi suasana kempen pilihan raya.

“Jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan menjadikan insiden ini sebagai modal untuk memburukkan nama BN tanpa bukti yang jelas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti pelaku sebenar di sebalik kejadian berkenaan.

Katanya, BN Johor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat pihak yang terus mengaitkan parti itu dengan insiden berkenaan tanpa sebarang bukti.

Semalam, media melaporkan, polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian merosakkan bendera dan papan gambar calon PH dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata laporan dibuat oleh pengadu yang juga wakil calon parti berusia 43 tahun pada jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, pengadu menerima panggilan daripada ketua pasukan kempen memaklumkan beberapa bendera dan papan gambar calon PH dicabut, dibuang ke dalam longkang serta dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Must Watch Video

Advertisement