Skip to main content

Politik

Bercakap tentang KWAP, Tabung Haji, jangan lupa FELDA – Radzi Jidin

Radzi Jidin_FB Radzi Jidin
Datuk Radzi Jidin menggesa isu pelaburan FELDA dalam PT Eagle High tidak dilupakan ketika perhatian tertumpu kepada KWAP dan Tabung Haji. Beliau mendakwa pelaburan RM2.3 bilion pada 2016 kini bernilai sekitar RM200 juta, sambil mempersoalkan manfaat yang diperoleh FELDA dan peneroka. - Astro AWANI

PUTRAJAYA: Ketika perhatian ramai tertumpu kepada isu melibatkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (TH), Naib Presiden BERSATU, Datuk Radzi Jidin mengingatkan agar apa yang pernah berlaku kepada FELDA tidak dilupakan.

Beliau berkata, antara yang perlu diberi perhatian ialah pelaburan bernilai kira-kira RM2.3 bilion oleh FELDA dalam syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High), pada 2016.

Menurut Radzi, saham berkenaan dibeli pada harga 584 rupiah sesaham, manakala nilainya kini sekitar 79 rupiah sesaham, iaitu kira-kira 13 peratus daripada harga pembelian ketika itu.

Katanya, jika turut mengambil kira kejatuhan nilai mata wang rupiah, nilai pelaburan tersebut kini dianggarkan hanya sekitar RM200 juta.

“FELDA terpaksa bayar balik hutang RM2.3 bilion dan faedah atas hutang untuk membeli saham tersebut.

“Apa yang FELDA dan peneroka dapat daripada pelaburan tersebut dalam tempoh hampir 10 tahun? Tiada. Nothing. Kosong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pelaburan Eagle High itu hanyalah satu daripada transaksi melibatkan FELDA yang perlu terus diberi perhatian.

Menurutnya, ketika isu berkaitan KWAP dan Tabung Haji menjadi perhatian, perkara yang pernah berlaku kepada FELDA juga wajar dilihat dalam konteks lebih besar berkaitan tadbir urus, keputusan pelaburan dan pengurusan institusi penting negara.

“Akhir-akhir ini banyak cerita tentang KWAP dan Tabung Haji. Kita kecewa dengan apa yang berlaku melibatkan kedua-dua institusi tersebut. Tapi jangan kita lupa apa yang berlaku kepada FELDA.

“Itu baru cerita satu transaksi FELDA.

“Apakah kita memilih untuk tidak belajar daripada sejarah atau memilih untuk memejamkan mata daripada melihat yang benar?” katanya.

Must Watch Video

Advertisement