Skip to main content

Malaysia

Warga emas, anak maut dalam kemalangan di Muar

SINAR HARIAN
Seorang wanita warga emas berusia 83 tahun bersama anaknya maut setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Temenggong Ahmad berhampiran Parit Unas pagi tadi. - Foto Sinar Harian

MUAR: Seorang wanita warga emas berusia 83 tahun bersama anaknya maut setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Temenggong Ahmad berhampiran Parit Unas di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal pihaknya mendapati kereta Perodua Myvi dipandu anak warga emas berusia 58 tahun itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan pada 10.30 pagi.

Beliau berkata kereta itu kemudiannya melanggar sebuah lori yang bergerak dari arah bandar Muar menghala ke Parit Jawa.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu lori berusia 35 tahun yang mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki menerima rawatan di HPSF.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil bagi membantu siasatan,” katanya.  

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement