PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru golongan usahawan di negeri itu supaya merebut peluang mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia sebagai langkah strategik untuk memperkukuh daya saing perniagaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Baginda bertitah, pensijilan halal bukan sekadar memenuhi tuntutan syarak, malah mencerminkan komitmen usahawan dalam memastikan setiap produk dan perkhidmatan menepati piawaian kualiti, keselamatan serta kebersihan yang ditetapkan demi memelihara kesejahteraan ummah.
Menurut baginda, pensijilan halal mampu meningkatkan keyakinan pengguna, memperkukuh reputasi jenama dan membuka akses kepada pasaran yang lebih luas sekali gus memperkasakan pertumbuhan perusahaan tempatan.
"Saya ingin menegaskan pensijilan halal hendaklah dihayati sebagai satu ibadah yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan serta dipikul sebagai satu amanah yang menuntut integriti dan akauntabiliti," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Program Pengiktirafan Zon Tayyibah, Amanah, 'Afiyah dan Taharah (T.A.A.T.) dan Pensijilan Halal Malaysia Peringkat Perlis di Padang Besar, pada Sabtu.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan pihak berkuasa agar terus memainkan peranan proaktif dalam memudah cara urusan usahawan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan serta permohonan pensijilan halal.
Baginda berharap Perlis dapat terus menjadi contoh dalam pembangunan ekosistem halal negara, selain menjadikan Kempen Zon T.A.A.T. sebagai pemangkin kepada peningkatan kesedaran pengusaha premis makanan untuk mengamalkan nilai tayyibah, amanah, 'afiyah dan taharah sebelum memperoleh Pensijilan Halal Malaysia.