Skip to main content

Malaysia

UMS kekal utamakan pelajar tempatan, perkasa agenda pengantarabangsaan

Universiti Malaysia Sabah
Data rasmi UMS menunjukkan kemasukan pelajar tempatan meningkat daripada 18,286 orang pada 2024 kepada 20,287 orang pada 2025, iaitu pertambahan 2,001 orang atau 10.94 peratus. - Gambar Facebook Universiti Malaysia Sabah

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan, khususnya anak Sabah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur berkata dakwaan peningkatan pelajar antarabangsa di universiti awam hingga mengorbankan peluang pelajar tempatan adalah tidak tepat serta tidak disokong oleh data dan realiti sebenar.

Beliau berkata data rasmi UMS menunjukkan kemasukan pelajar tempatan meningkat daripada 18,286 orang pada 2024 kepada 20,287 orang pada 2025, iaitu pertambahan 2,001 orang atau 10.94 peratus.

“Dalam tempoh sama, enrolmen pelajar antarabangsa turut meningkat secara sederhana daripada 712 kepada 873 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pertambahan pelajar antarabangsa berlaku seiring dengan peningkatan kemasukan pelajar tempatan, bukannya menggantikan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata kesimpulan bahawa pelajar antarabangsa menjejaskan peluang pelajar tempatan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan jumlah keseluruhan enrolmen universiti, kerana angka berkenaan merangkumi pelbagai kategori pengajian termasuk prasiswazah, pascasiswazah, program mobiliti, pengajian dalam talian dan program jangka pendek yang mempunyai mekanisme kemasukan berbeza.

Beliau berkata pengambilan pelajar antarabangsa bagi program prasiswazah juga dihadkan sekitar 10 peratus, bagi memastikan keutamaan kepada pelajar tempatan terus terpelihara.

Sebagai universiti yang berpaksikan Sabah dan Borneo, beliau berkata UMS mempunyai tanggungjawab untuk membuka seluas-luasnya akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Borneo, termasuk dari kawasan pedalaman dan luar bandar.

Pada masa yang sama, kehadiran pelajar antarabangsa merupakan sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara bagi memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan, jaringan antarabangsa serta reputasi universiti Malaysia pada peringkat global.

Kasim berkata agenda itu menjadi antara indikator penting dalam penilaian universiti bertaraf dunia seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE).

“Inisiatif pengantarabangsaan tidak sekali-kali mengetepikan rakyat Sabah atau Malaysia. Sebaliknya, ia menarik dunia ke negeri Sabah, dengan membawa bersamanya limpahan ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan negeri melalui pemerkasaan sektor pelancongan pendidikan,” katanya.

Beliau memberi jaminan UMS akan terus memastikan keseimbangan antara memenuhi amanah sebagai universiti awam kepada rakyat Malaysia dan mengangkat nama Sabah sebagai hab ilmu yang disegani di rantau ini. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebarang perbahasan mengenai pengantarabangsaan pendidikan tinggi sewajarnya berpaksikan fakta dan data, bukan persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement