Skip to main content

Malaysia

MPOB bakal bangunkan stesen penyelidikan strategik di Seri Mendapat - Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 17 Julai -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka 2025 malam tadi._BERNAMA
Ab Rauf berkata pembangunan stesen penyelidikan yang akan dibangunkan di bawah RMK-13 itu, bagi memperkasakan industri minyak sawit negeri pada masa hadapan. - Gambar fail/Bernama

JASIN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membangunkan stesen penyelidikan strategik di tanah seluas 40.47 hektar di Seri Mendapat di sini, melibatkan nilai pelaburan antara RM20 juta hingga RM25 juta.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pembangunan stesen penyelidikan yang akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu, bagi memperkasakan industri minyak sawit negeri pada masa hadapan.

"Kerajaan Negeri Melaka telah bersetuju menyediakan tanah seluas 40.47 hektar untuk pembangunan stesen penyelidikan berkenaan oleh MPOB, dan kemudahan ini antara tiga inisiatif penting yang bakal memberikan manfaat besar kepada sektor komoditi di negeri ini.

"Kawasan tanah berkenaan nanti akan dibangunkan ladang model, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal moden, pusat latihan, penempatan pegawai tunjuk ajar dan nasihat sawit (TUNAS), pasukan penguat kuasa serta pelbagai kemudahan sokongan lain," katanya kepada pemberita di Kampung Seri Mendapat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Hello Komoditi 2026 bersempena dengan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Sungai Rambai, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis.

Ab Rauf berkata kemudahan itu bakal menjadikan Sungai Rambai sebagai hab ilmu, inovasi dan pembangunan industri sawit, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata inisiatif berkenaan selaras manifestasi kerajaan negeri untuk mengangkat sektor komoditi daripada sekadar sumber pendapatan kepada pemacu ekonomi luar bandar yang lebih moden, berdaya saing dan bernilai tinggi.

Selain itu, pembinaan Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian sepanjang lima kilometer di Ladang Lembah Kesang, Mukim Semujuk akan dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM400,000 yang diluluskan.

"Mungkin bagi sesetengah orang, ia hanyalah sebuah jalan tetapi bagi pekebun kecil, jalan berkenaan yang mempercepat hasil sampai ke pasaran, mengurangkan kos operasi serta memudahkan pergerakan mereka dan kemudahan ini dijangka memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 200 pekebun kecil.

"Mengambil kira hampir 45 peratus komuniti Sungai Rambai terdiri daripada peladang dan pekebun kecil, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan keperluan dan suara pekebun kecil di kawasan ini," katanya.

Selain itu, MPOB telah menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 bagi membantu pekebun kecil menggantikan pokok sawit tua yang kurang produktif dengan benih baharu yang lebih berkualiti dan berhasil tinggi.

Menerusi skim itu, pemohon yang layak boleh menerima pembiayaan hingga RM14,000 bagi setiap hektar tanah dengan bayaran balik bermula pada tahun kelima, dan pekebun kecil mempunyai ruang yang lebih selesa untuk membangunkan semula kebun mereka tanpa dibebani tekanan kewangan.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti keperluan untuk menaik taraf pintu air lama di Jeti Sebatu melibatkan kos sebanyak RM200,000 dan permohonan peruntukan itu telah diusulkan kepada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kerja-kerja pengaluran saluran keluar Sungai Sebatu sepanjang 300 meter yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM350,000 juga sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir.

"Projek berkenaan dilaksanakan bagi  mengatasi isu banjir yang dibangkitkan komuniti nelayan setempat di Jeti Sebatu menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan  Program WRUR," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement