KAJANG: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika mengalihkan baldi yang dijadikan tanda amaran di Kilometer 13.0 Lebuhraya Cheras-Kajang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berwarna perak bersama lima penumpang telah memberhentikan kenderaannya di bahu kiri lebuh raya selepas tayar kenderaan itu pancit.
“Selepas selesai menukar tayar, mangsa berjalan ke bahagian belakang kenderaan untuk mengalihkan baldi yang diletakkan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya lain.
“Ketika mangsa sedang mengalihkan baldi tersebut, sebuah lagi MPV jenis Toyota Innova berwarna merah datang dari arah belakang sebelum melanggarnya dan terus meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Naazron berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496,” ujarnya. - Sinar Harian