KUALA LUMPUR: Hasil tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh badan kajian Merdeka Center melayakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan khidmat cemerlangnya sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua selepas PRU16.
Menurut tinjauan Merdeka Center itu, Anwar terus mendahului senarai pemimpin politik negara dengan kadar sokongan sebanyak 52 peratus dengan 42 peratus pengundi berpendapat Malaysia berada di landasan yang betul.
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SekPur), Shahbudin Embun berkata, rakyat telah bersuara yang menunjukkan majoriti rakyat negara ini merasai dan menyokong dasar-dasar Anwar selaku Perdana Menteri yang berjaya memakmurkan aspek perpaduan negara serta pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya percaya rakyat makin yakin dengan prestasi Anwar selama hampir 4 tahun menjadi PM kerana beliau berjaya mempertahankan keharmonian kaum di negara ini dan membawa masuk berbilion pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan prestasi ringgit yang cemerlang.
“Justeru, dengan rekod pentadbiran yang cemerlang sejak 2022, Anwar layak untuk dipertimbangkan bagi meneruskan penggal kedua beliau sebagai PM,” katanya hari ini.
Tinjauan yang dilakukan antara 12 Mac hingga 9 April tahun ini juga mendapati 42 peratus daripada pengundi Malaysia masih percaya bahawa negara ini berada pada landasan yang betul meskipun berdepan dengan ketidaktentuan antarabangsa yang semakin meningkat dan cabaran ekonomi.
Dalam tinjauan sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berada di tempat kedua dengan kadar sokongan sebanyak 50 peratus.
Bagi pemimpin pembangkang, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatat populariti sokongan 36 peratus mengatasi Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memperoleh markah 28 peratus.
Dalam pada itu, Shahbudin berkata, Anwar mempunyai laluan yang realistik untuk mendapatkan penggal kedua sebagai Perdana Menteri dan keyakinan itu bukan berdasarkan kesetiaan membuta tuli, tetapi berdasarkan beberapa realiti politik.
Pertama, katanya, Kerajaan Perpaduan telah membawa kestabilan politik yang lebih tinggi selepas bertahun-tahun mengalami ketidakpastian dan kestabilan itu kekal sebagai salah satu pertimbangan utama bagi ramai pengundi Malaysia.
Kedua, jelasnya, pembaharuan ekonomi kerajaan, usaha untuk menarik pelaburan asing, disiplin fiskal, dan inisiatif untuk menambah baik tadbir urus mula menghasilkan kesan yang boleh diukur.
“Walaupun masih banyak cabaran, terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa negara sedang bergerak ke arah yang lebih stabil.
“Anwar terus menikmati pengiktirafan yang ketara di pentas antarabangsa. Kepimpinan beliau telah mengukuhkan profil diplomatik Malaysia dan meningkatkan keyakinan pelabur, yang menyumbang secara positif kepada prospek jangka panjang negara,” katanya.
Katanya, sejarah telah menunjukkan bahawa penyandang yang mampu mengekalkan kestabilan ekonomi, memelihara perpaduan politik, dan terus melaksanakan pembaharuan biasanya memasuki pilihan raya dari kedudukan yang kukuh.
Anwar pada Jumaat menyambut baik dapatan kajian yang meletakkan beliau sebagai pemimpin politik paling mendapat sokongan rakyat di negara ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, pengiktirafan sedemikian tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa atau leka dengan pencapaian semasa.