KULIM: Dua kanak-kanak dan seorang wanita maut akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Shamsul Sinring berkata, polis terdahulu menerima laporan kira-kira jam 2 petang mengenai lima orang yang berkelah di kawasan sungai terbabit dihanyutkan kepala air.
“Kejadian disyaki berpunca dari kepala air yang datang secara tiba-tiba dan siren kecemasan di tempat kejadian mengalami kerosakan," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, identiti ketiga-tiga mangsa maut telah dikenal pasti.
Katanya, mereka ialah Nur Atikah Abdullah, 28; Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12; dan Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3.
Beliau berkata, dua lagi mangsa yang dilapor hanyut ditemui selamat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.27 petang.
"Pemanggil memaklumkan terdapat mangsa dihanyutkan arus deras. Susulan itu, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada Astro AWANI.
Kata beliau, sebaik tiba di lokasi, pihaknya menerima maklumat seorang perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dihanyutkan arus deras di kawasan sungai yang lebih tinggi di atas bukit.
"Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan dan pencarian di kawasan puncak bukit serta kawasan sekitar," katanya.
Menurutnya, hasil maklumat daripada orang awam, seorang mangsa perempuan dan dua kanak-kanak lelaki ditemukan terapung di aliran sungai di tidak jauh dari lokasi hilang.