Skip to main content

Malaysia

Tatakelola NGO: Kepercayaan awam jadi 'mata wang' organisasi kemanusiaan - MERCY Malaysia

Presiden MERCY Malaysia Profesor Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus
Ahmad Faizal (foto) mengulas isu kepercayaan dalam tadbir urus NGO dan organisasi kemanusiaan pada sidang media seiring Bengkel Tadbir Urus & Akauntabiliti 2026 anjuran MERCY Malaysia di ibu negara, hari ini. -Foto MERCY Malaysia

KUALA LUMPUR: Kepercayaan awam kini menjadi ‘mata wang’ utama organisasi kemanusiaan ketika tuntutan terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus beretika terus meningkat dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar.

MERCY Malaysia berkata pengukuhan tadbir urus, akauntabiliti dan integriti institusi penting untuk mengekalkan keyakinan masyarakat serta memastikan tindakan kemanusiaan dilaksanakan secara berprinsip.

Menurut organisasi itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi bukan berasaskan keuntungan kini berdepan tekanan untuk mengekalkan standard tinggi dalam pengurusan kewangan serta penggunaan sumber yang diamanahkan.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata organisasi kemanusiaan beroperasi berasaskan kepercayaan awam.

"Memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti bukan sahaja tanggungjawab institusi, malah satu kewajipan moral dan etika kepada komuniti yang kami bantu, rakan kerjasama dan masyarakat secara keseluruhan.

"Ketika landskap kemanusiaan terus berkembang, terdapat tanggungjawab bersama untuk memastikan integriti, ketelusan dan tindakan berprinsip kekal menjadi teras kerja kemanusiaan," katanya dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, MERCY Malaysia menganjurkan Bengkel Tadbir Urus & Akauntabiliti 2026 bertemakan "Mewujudkan Nilai Melalui Rangka Kerja Integriti untuk Tadbir Urus dan Akauntabiliti NGO yang Lebih Kukuh" di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Bengkel itu menghimpunkan wakil daripada agensi pengawal selia dan penguat kuasa, profesional tadbir urus dan audit, institusi akademik dan penyelidikan, pengamal kemanusiaan serta kepimpinan NGO bagi memperkukuh usaha kolektif meningkatkan standard tadbir urus dalam sektor berkenaan.

MERCY Malaysia berkata perbincangan sepanjang bengkel itu tertumpu kepada usaha memperkukuh amalan tadbir urus dan akauntabiliti, mengurus risiko fidusiari dan pematuhan, meningkatkan ketelusan serta kepercayaan awam selain membina rangka kerja integriti yang lebih kukuh untuk NGO.

Menurut organisasi itu, perbincangan berkenaan turut berlandaskan prinsip kemanusiaan termasuk kemanusiaan, berkecuali, tidak memihak dan kebebasan, di samping menekankan kepentingan amalan institusi yang telus dan bertanggungjawab dalam mengekalkan integriti operasi serta keyakinan masyarakat.  

Bengkel itu juga bertujuan memupuk dialog mengenai tanggungjawab bersama organisasi, badan pemantau dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh tadbir urus beretika serta mengekalkan keyakinan terhadap institusi kemanusiaan dan masyarakat sivil.

 

Must Watch Video

Advertisement