KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia melaksanakan perubahan berkaitan tempoh sah laku pasport hingga 10 tahun merujuk kepada Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tarikh pelaksanaan perkara itu akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
"Tarikh pelaksanaan akan diumumkan oleh kerajaan dan kita memang bersedia untuk laksanakan apabila diumumkan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika ini, pihaknya masih mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku lima tahun dan akan mengekalkan perkara itu dengan rakyat diberi pilihan selepas pelaksanaan tempoh sah laku yang baharu.
Merujuk kepada Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan semalam, pasport Malaysia baharu dengan tempoh sah laku hingga 10 tahun ditetapkan pada bayaran RM350 bakal dilaksanakan tahun ini.
Individu berusia 60 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM175, manakala golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 layak mendapat pasport itu secara percuma.
Warta Kerajaan yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu turut menetapkan kadar bayaran bagi menggantikan pasport yang rosak atau hilang bagi warganegara berumur 13 hingga 59 tahun untuk kes kali pertama sebanyak RM550.
Bagi kes membabitkan warganegara berusia lebih 60 tahun, kes pertama penggantian dikenakan kadar bayaran RM375, RM675 (kedua) dan seterusnya, RM1,175.
Sementara itu, OKU 18 tahun ke atas dan pegawai imigresen yang berdepan dengan kes sama bagi penggantian pertama dikenakan kadar bayaran RM200, RM500 (kedua) dan RM1,000 bagi kes berikutnya.
Rakyat Malaysia ketika ini dikenakan bayaran RM200 untuk pasport, manakala warga emas sebanyak RM100 dengan tempoh sah laku lima tahun.
-- BERNAMA