GEORGE TOWN: Cadangan kawasan tambahan kira-kira 70 ekar bukan projek penambakan atau tebus guna baharu, yang dianugerahkan secara berasingan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebaliknya sebahagian daripada mekanisme pelaksanaan Projek Penutupan Selamat Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek TPSJ telah melalui proses permintaan cadangan (RFP) terbuka yang diiklankan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 2015 sebelum PLB Engineering Berhad (PLBE) dipilih sebagai pemaju projek.
Beliau yang juga Pengerusi PDC berkata Joint Development Agreement (JDA) telah ditandatangani pada 21 Feb 2020 antara kerajaan negeri, PDC dan PLBE bagi melaksanakan projek rehabilitasi TPSJ yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko daripada aspek keselamatan, pencemaran alam sekitar dan kestabilan geoteknikal.
"Sehubungan dengan itu, dakwaan bahawa kerajaan negeri telah menganugerahkan projek tebus guna baharu tanpa tender terbuka adalah tidak berasas.
"Sebarang pelaksanaan di kawasan tambahan tersebut masih tertakluk kepada keperluan teknikal serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan mengikut undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Chow menjelaskan kira-kira 10 ekar diperlukan bagi mewujudkan zon penampan di sekeliling tapak asal bagi meningkatkan kestabilan kawasan pinggir TPSJ, dan peningkatan jumlah sisa pembinaan serta perobohan sejak beberapa tahun kebelakangan ini memerlukan kapasiti pemprosesan yang lebih besar
"Kehadiran gas landfill di tapak rehabilitasi juga menimbulkan risiko keselamatan terhadap penempatan dan operasi mesin kitar semula, justeru kira-kira 60 ekar diperlukan bagi menempatkan 20 set mesin kitar semula di dalam bangunan sementara yang tertutup bagi memastikan operasi pemulihan dan kitar semula dapat dijalankan dengan selamat serta berkesan," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang kerja tebus guna atau kerja fizikal dilaksanakan di kawasan berkenaan, serta masih tertakluk kepada pelbagai keperluan teknikal dan perundangan.
Mengenai fi pengurusan projek TPSJ, Chow berkata ia ditetapkan sebanyak RM25 juta dengan RM5 juta telah diterima oleh PDC daripada kerajaan negeri setakat ini, manakala bakinya akan dijelaskan secara ansuran sebanyak RM5 juta setahun.
Beliau berkata ansuran pertama hendak dibuat dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan Commencement of Work (COW), namun memandangkan COW bagi projek TPSJ masih belum diperoleh, obligasi untuk menjelaskan baki fi masih belum berkuat kuasa dan menjadi tuntutan yang perlu dipenuhi.
"Justeru, pada masa ini PDC tidak mempunyai sebarang kausa tindakan terhadap PLBE berhubung perkara tersebut," katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung dakwaan projek penambakan tanah seluas 70 ekar di hadapan Karpal Singh Drive di sini tidak dilaksanakan menerusi tender terbuka, serta sebab PDC tidak mengambil tindakan guaman terhadap PLBE berhubung isu pembayaran fi pengurusan projek.
-- BERNAMA