Skip to main content

Malaysia

Syed Saddiq, Bella sudah ada tarikh nikah, tunggu masa untuk umum

Syed Saddiq Bella_IG bellaastillah
Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan tarikh pernikahannya dengan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, telah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun, belum sedia diumumkan kepada umum.

Menurut Syed Saddiq, setakat ini hanya ahli keluarga terdekat dan beberapa kenalan rapat dimaklumkan mengenai tarikh berkenaan kerana mereka mahu menghormati keluarga sebelum membuat pengumuman rasmi.

Beliau berkata demikian dalam program audio siar BASScast yang dikendalikannya bersama Bella, malam tadi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq memaklumkan, majlis resepsi dijangka diadakan di beberapa lokasi di Sabah dan Johor bagi meraikan kedua-dua belah keluarga.

Katanya, perancangan perkahwinan hanya dapat diteruskan selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya daripada pertuduhan yang dihadapi pada Isnin lalu.

"Sebelum ini kami tidak berani membuat sebarang perancangan selagi keputusan mahkamah belum diperoleh.

"Malah ada stesen televisyen yang bertanya bila perbincangan boleh dimulakan, namun kami terpaksa menangguhkannya," katanya.

Mengulas mengenai hubungan mereka, Syed Saddiq berkata, Bella sentiasa berada di sisinya ketika berdepan pelbagai cabaran, selain menjadi individu yang banyak memberi sokongan dan kekuatan.

Menurutnya, pengalaman bekerja bersama di Semporna, Sabah antara detik paling bermakna yang membuatkan beliau lebih mengenali keperibadian tunangnya itu.

"Saya dapat melihat sendiri etika kerja Bella yang sangat fokus dan komited terhadap setiap tugasan.

"Walaupun sibuk sebagai anak seni, Bella tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu, anak dan kakak. Dia juga sentiasa memikirkan cara untuk membantu masyarakat setempat.

"Itulah yang membuatkan saya semakin menghargai dirinya kerana Bella amat mementingkan keluarga," katanya.

Sementara itu, Bella mengakui cabaran terbesar dalam hubungan mereka ialah membahagikan masa memandangkan kedua-duanya mempunyai jadual kerja yang padat dan tidak menentu.

Katanya, komitmen seni lazimnya berlangsung pada waktu malam, manakala Syed Saddiq banyak terikat dengan urusan Parlimen pada waktu siang.

"Masa adalah cabaran terbesar buat kami. Jika saya menjalani penggambaran atau rakaman lagu, kebanyakannya dilakukan pada waktu malam.

"Dia pula sibuk dengan urusan Parlimen yang biasanya selesai pada sebelah petang. Jadi kami sentiasa mencari ruang untuk meluangkan masa bersama," katanya.

Dalam perkembangan sama, Bella berkata, dia memilih untuk tidak melayan pelbagai fitnah dan kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada keluarga, kerjaya serta kesihatan mental.

Menurutnya, mengambil tindakan terhadap setiap kritikan bukanlah keutamaan kerana terdapat perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian.

"Ramai peminat meminta saya mengambil tindakan, tetapi bagi saya ia hanya membuang masa.

"Saya mempunyai anak-anak yang perlu dijaga, kerjaya yang perlu diutamakan dan pelbagai perancangan lain. Saya tidak mahu perkara negatif menjejaskan diri serta kesihatan mental saya," katanya.

Bella turut menegaskan, dia juga tidak kisah menjadi sasaran kritikan berkaitan diri atau penampilannya, namun berharap keluarga tidak diheret sama.

Artis popular itu juga berbangga dengan latar belakang keluarganya yang berketurunan Kadayan Brunei serta mempunyai susur galur keluarga dari Filipina.

"Saya bangga dengan siapa diri saya. Saya tidak kisah apa yang orang mahu katakan, tetapi jangan babitkan ibu bapa saya.

"Kita hanya hidup sekali, jadi lakukan perkara yang membawa kebaikan," katanya.

Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, pada 2016. 

Pasangan itu bercerai pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah.

Namun, mereka sekali lagi bercerai pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Must Watch Video

Advertisement