PONTIAN: Dalam kesibukan menguruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut berkesempatan meluangkan masa menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Penanaman Pokok Paya Bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai yang terletak di penghujung selatan tanah besar Asia.
Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dalam kenyataan memaklumkan, program yang berlangsung semalam itu disertai Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dan melibatkan aktiviti penanaman 100 batang pokok paya bakau serta pembersihan kawasan dengan kutipan 17 kilogram sampah.
“Penyertaan SPR dalam inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen agensi tersebut terhadap kelestarian alam sekitar, selain tanggungjawab utamanya dalam mengurus dan memastikan kelancaran proses pilihan raya.
“Kesungguhan tersebut membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar merupakan komitmen bersama yang merentasi bidang tugas, sekali gus mencerminkan keprihatinan tinggi SPR terhadap usaha memelihara khazanah semula jadi negara,” menurut PTNJ.
Program itu turut disertai Pengarah PTNJ, Sufian Suleiman; Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Abdul Azim Shamsuddin merangkap Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN), Kukup.
Menurut PTNJ, penyertaan SPR bukan sahaja memperkukuh agenda pemuliharaan ekosistem hutan paya bakau, malah turut menyokong aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 menerusi pemeliharaan aset alam flora dan fauna serta ekopelancongan negeri.
Tanjung Piai yang terletak pada latitud 1° 16.00’ Utara, mempunyai kedudukan geografi istimewa sebagai titik paling selatan di daratan Asia atau benua Eurasia, selain antara lokasi yang membolehkan pengunjung melihat dua negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia secara serentak.
Taman Negara Johor Tanjung Piai ditubuhkan pada 1997 bagi melindungi kawasan unik itu, khususnya ekosistem paya bakau dan kawasan berlumpur yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan alam sekitar.
Pada 2003, taman negara itu turut diiktiraf di bawah Konvensyen Ramsar sebagai Tapak Ramsar, iaitu tanah lembap berkepentingan antarabangsa.
PTNJ memaklumkan, ekosistem Taman Negara Johor Tanjung Piai berada dalam keadaan baik dan pelbagai usaha pemuliharaan dilaksanakan, termasuk penanaman semula pokok paya bakau, pemantauan biodiversiti serta aktiviti pembersihan kawasan bagi memastikan ekosistem ini kekal terpelihara.
Bagaimanapun, menurut PTNJ, kawasan itu masih berdepan cabaran seperti sampah hanyut yang dibawa arus laut dan kesan perubahan iklim.
Hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 ditetapkan pada esok, 11 Julai.
– BERNAMA