Skip to main content

Malaysia

SPR kaji pelaksanaan undi pos domestik rentas wilayah - Kulasegaran

61733924772_MKulasegaran.jpg
M. Kulasegaran berkata, kajian itu memerlukan libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk parti politik sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan pelaksanaan kemudahan undi pos domestik bagi pengundi merentas wilayah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, kajian itu memerlukan libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk parti politik sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Perkara ini sedang dikaji oleh SPR kerana perkara yang dibangkitkan adalah unik di mana pengundi-pengundi adalah di Sabah atau Sarawak, beribu-ribu kilometer jauh dari negeri-negeri Tanah Melayu, maka ada kerumitan tertentu (yang perlu diteliti).

“Kajian ini dijangka selesai pada tahun hadapan,” katanya menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) mengenai keperluan segera transformasi urusan pilihan raya dan hak undi pos merentas wilayah dalam Malaysia pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan terbuka untuk menilai semula struktur kedudukan SPR bagi diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen berbanding Jabatan Perdana Menteri pada masa akan datang.

“Saya rasa itu adalah satu pandangan yang bagus, yang murni dan perlu diambil kira... perkara itu akan dibawa ke pihak-pihak yang berkenaan supaya satu keputusan dibuat tidak lama lagi,” katanya.

Mengenai dakwaan penguatkuasaan larangan penggunaan telefon bimbit di saluran mengundi yang masih longgar, Kulasegaran berkata SPR berpandangan mekanisme kawalan sedia ada adalah mencukupi dan tiada cadangan untuk meminda prosedur berkenaan atau menjadikannya sebagai kesalahan khusus di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement