KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus diperkukuhkan dalam usaha memperkasa agenda pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan bagi mencapai sasaran Inisiatif Dadah Terkawal 2030.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah berkata, komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Perak membuktikan kesungguhan semua pihak dalam menangani ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah secara bersepadu.
"Kolaborasi strategik antara Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) amat kritikal bagi memastikan sasaran Inisiatif Dadah Terkawal 2030 dapat direalisasikan dengan berkesan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata AADK merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ahli Mesyuarat MTMD Negeri Perak atas sokongan dan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah di negeri itu.
Menurutnya, usaha bersepadu antara kerajaan negeri dan AADK adalah selari dengan aspirasi Inisiatif Dadah Terkawal 2030 yang diterajui AADK dengan sokongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan isu penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia berada pada tahap yang terkawal serta dapat diurus secara sistematik.
Zainuddin menambah antara fokus utama yang sedang diperkasakan ialah pelaksanaan Inisiatif Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) yang bertujuan meningkatkan ketahanan komuniti sebagai benteng awal dalam membendung ancaman dadah.
"Sebanyak 10 kampung di Perak telah dipilih mengikut daerah masing-masing untuk menerajui inisiatif KABD sebagai model komuniti yang memainkan peranan aktif dalam usaha pencegahan dan pendidikan antidadah di peringkat akar umbi.
"Melalui inisiatif ini, kita mahu membina rasa tanggungjawab dan pemilikan bersama dalam kalangan masyarakat supaya komuniti sendiri menjadi barisan hadapan dalam melindungi kawasan mereka daripada ancaman dadah," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata AADK turut memperhebat Kempen Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama menerusi Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang dilaksanakan secara turun padang merentasi daerah.
Katanya, program tersebut memberi fokus kepada penyampaian maklumat, khidmat bantuan dan peningkatan kesedaran awam secara langsung kepada masyarakat bagi mengekang penularan penyalahgunaan dadah, khususnya melibatkan dadah sintetik yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata kejayaan mencapai sasaran Dadah Terkawal 2030 tidak boleh dipikul oleh kerajaan dan agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan aktif masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha pencegahan dan pemulihan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru menjadi 'mata dan telinga' kepada AADK dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah atau membantu individu yang memerlukan rawatan dan pemulihan.
"AADK optimis bahawa dengan sinergi yang padu antara kerajaan negeri, agensi, dan seluruh lapisan masyarakat, rantaian penagihan dadah sintetik dapat diputuskan.
"Usaha berterusan ini bakal melindungi modal insan demi merealisasikan visi Negeri Perak yang selamat, sihat, dan sejahtera menjelang tahun 2030," ujarnya.