KOTA BHARU: Kerumitan siasatan yang melibatkan pengesanan aliran wang, semakan akaun bank dan kerjasama pelbagai institusi kewangan menjadi antara cabaran utama dalam menangani peningkatan kes jenayah komersial, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau berkata walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan penstrukturan semula dengan menempatkan anggota daripada cawangan lain ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), jabatan itu masih berdepan cabaran bagi menampung beban kerja yang semakin meningkat.
“Kadang-kadang anggota yang sudah lama bertugas dalam bahagian komersial pun berasa tertekan kerana kerumitan siasatan yang perlu dilaksanakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Yusoff berkata peningkatan kes jenayah komersial yang berterusan juga menyebabkan jumlah kertas siasatan semakin bertambah dan menjadi semakin kompleks untuk diselesaikan.
Beliau berkata proses pendakwaan merupakan satu cabaran meskipun kerjasama dengan institusi kewangan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berada pada tahap baik.
Katanya, kadar pertuduhan bagi kes jenayah komersial di Kelantan ketika ini masih kurang daripada 10 peratus menyebabkan sebahagian kertas siasatan tidak dapat ditutup dan terus berada dalam simpanan sementara menunggu perkembangan siasatan.
“Kes baharu pula terus bertambah dan akhirnya memberi beban yang besar kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Beliau berpandangan penilaian prestasi atau petunjuk prestasi utama (KPI) berkaitan penyelesaian kes jenayah komersial perlu mengambil kira faktor di luar kawalan pegawai penyiasat.
Katanya, terdapat kes yang memerlukan tindakan atau keputusan daripada agensi lain sebelum siasatan dapat dimuktamadkan, sekali gus memberi kesan kepada kadar penyelesaian kes.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusoff menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam bagi memperkukuh aspek keselamatan serta membantu usaha pencegahan dan siasatan jenayah.
Beliau berkata liputan CCTV yang menyeluruh, termasuk di persimpangan lampu isyarat dan lokasi tumpuan awam, merupakan antara elemen penting dalam konsep Bandar Selamat yang dapat membantu polis mengenal pasti suspek serta menjejaki pergerakan mereka.
“PBT di Kelantan masih kurang kesedaran untuk memasang CCTV secara menyeluruh. Mengikut konsep Bandar Selamat antara ciri yang perlu ada ialah pencahayaan dan CCTV,” katanya.
Mohd Yusoff berkata walaupun rakaman CCTV tidak semestinya dijadikan bahan bukti utama di mahkamah, teknologi itu banyak membantu siasatan dengan memberikan petunjuk penting bagi mengenal pasti serta menahan penjenayah.
Beliau berkata lebih 80 peratus tangkapan di negeri itu dibantu oleh rakaman CCTV, namun kekurangan liputan kamera di kawasan awam menyebabkan pegawai penyiasat sering mendapatkan kerjasama pemilik premis dan rumah bagi memperoleh rakaman untuk membantu siasatan.
Mohd Yusoff berkata langkah memaksimumkan penggunaan CCTV bukan sahaja dapat memperkukuh aspek keselamatan, malah membantu mengurangkan keperluan rondaan serta menjimatkan penggunaan tenaga kerja.
Beliau berkata berdasarkan pengalamannya ketika mengikuti lawatan ke Sydney, Australia pada 2013, penggunaan CCTV secara menyeluruh di bandar itu membolehkan pemantauan dilakukan dari pusat kawalan sekali gus mengurangkan keperluan rondaan fizikal.
-- BERNAMA