Skip to main content

Malaysia

Selangor giat advokasi, perkukuh perlindungan 1.8 juta kanak-kanak

SHAH ALAM, 27 Julai -- Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari (lima kanan) dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Azmir Kassim (empat kanan) bergambar bersama rakan strategik ketika hadir ke Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Kasih Kanak-Kanak Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.  -- fotoBERNAMA
Anfaal (lima kanan) dan Azmir (empat kanan) bergambar bersama rakan strategik ketika hadir ke Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Kasih Kanak-Kanak Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada Isnin. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mempergiat usaha memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak menerusi program advokasi berterusan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan lebih 1.8 juta kanak-kanak di negeri itu terus terpelihara.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, usaha itu penting memandangkan Selangor berdepan pelbagai cabaran serta isu sosial sebagai negeri dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 2,306 kes membabitkan kanak-kanak direkodkan di Selangor, dengan 1,877 daripadanya berkaitan pemeliharaan dan perlindungan, 366 kes salah laku jenayah serta 63 kes kanak-kanak tidak terkawal.

“Usaha membangunkan kanak-kanak dalam suasana yang selamat serta terpelihara daripada isu jenayah mahupun keselamatan merupakan tumpuan utama kerajaan negeri bagi melahirkan negeri yang makmur, mampan dan penyayang.

“Program dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) seperti ini adalah langkah berterusan sejak 2004 yang telah memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar, sekali gus menjadi sebahagian usaha memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Selangor yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini .

Program itu menghimpunkan 250 peserta daripada 52 sekolah dan institusi tahfiz di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS).

Dalam pada itu, Anfaal berkata, usaha advokasi perlu dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu kerana kerajaan negeri tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu insiden jenayah atau salah laku berlaku.

Justeru, beliau berkata, pendekatan membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk JPNS, JAIS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat penting, selain memastikan perlindungan turut merangkumi kanak-kanak di institusi jagaan, pusat tahfiz dan sekolah agama.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement