Skip to main content

Malaysia

Seksyen 3 WCE dijangka siap hujung tahun ini

SHAH ALAM – Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi Seksyen 3 dijangka dapat disiapkan penghujung tahun ini sebelum dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun depan.
Projek WCE Seksyen 3 dijangka dapat disiapkan penghujung tahun ini sebelum dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun depan. -Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi Seksyen 3 dijangka dapat disiapkan penghujung tahun ini sebelum dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun depan.

Difahamkan, perkembangan pembinaan laluan itu menunjukkan kemajuan positif selepas isu pengambilan tanah membabitkan 19 penduduk di Kampung Jawa Klang berjaya diselesaikan pada Disember tahun lalu.

Menurut WCE, kerja-kerja teknikal dan pembinaan telah berjalan hampir enam bulan dengan struktur utama seperti tiang utama dan jambatan jejambat kini mula kelihatan di lokasi projek.

"Kemajuan projek ini meningkat dan jangkaan hujung tahun ini siap dan mungkin dapat dibuka untuk operasi pada suku pertama tahun depan," katanya kepada Sinar Harian.

WCE berkata, Seksyen 3 amat penting kerana akan melengkapkan sambungan dengan Seksyen 1 dan 2 selain membantu melancarkan pergerakan kenderaan berat terutama dari utara ke Selatan.

"Oleh yang demikian, WCE dapat membantu mengurangkan aliran trafik, selain laluannya yang lebih landai berbanding lebuh raya lain, sekali gus lebih menjimatkan penggunaan minyak terutama bagi kenderaan pengangkut dan kontena,” katanya.

Tambah WCE, jajaran lebuh raya itu turut berperanan sebagai penghubung penting ke pelabuhan utama termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Banting.

Dalam perkembangan sama, kesemua lapan seksyen WCE telah siap termasuk keseluruhan jajaran WCE di Perak dari Hutan Melintang hingga Taiping Selatan telah siap sepenuhnya sejak 2024 dan kini merekodkan trafik harian 100,000 kenderaan sehari.

"Kalau musim perayaan, aliran trafik boleh mencecah antara 160,000 hingga 180,000 sehari dengan sasaran keseluruhan apabila semua 11 seksyen siap nanti adalah sekitar 300,000 kenderaan sehari,” katanya.

Mengulas isu kemudahan di sepanjang lebuh raya itu, WCE menegaskan, kebimbangan pengguna mengenai ketiadaan stesen minyak di WCE tidak berasas kerana kebanyakan persimpangan lebuh raya mempunyai stesen minyak dalam radius dua kilometer.

"Memang dalam perancangan akan ada stesen minyak di laluan WCE nanti, cuma masih dalam proses pembangunan,” katanya.

WCE turut memaklumkan kemudahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta pengecas EV berkuasa tinggi di sepanjang jajaran WCE telah beroperasi iaitu Sungai Nyior, Bukit Kapar, Johan Setia dan Sijangkang manakala selebihnya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement