MOSCOW: MOSCOW, 22 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada Jumaat, situasi wabak Ebola adalah "amat membimbangkan", dengan hampir 750 kes dan 177 kematian yang disyaki, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Keadaan Ebola di DRC (Republik Demokratik Congo) amat membimbangkan. Setakat ini, 82 kes telah disahkan, dengan tujuh kematian yang disahkan.
"Tetapi kita tahu wabak di DRC jauh lebih besar. Kini terdapat hampir 750 kes dan 177 kematian yang disyaki," menurut hantaran Ghebreyesus di X.
Beliau berkata jumlah itu terus meningkat apabila pengawasan epidemiologi dan ujian populasi dipergiat di lapangan.
Bagaimanapun, keganasan dan ketidakamanan berterusan menghalang tindak balas yang mencukupi terhadap wabak itu, kata Ghebreyesus, sambil menambah kakitangan WHO tambahan telah dikerahkan ke Ituri, pusat wabak, untuk memberikan sokongan kepada komuniti terjejas.
Keadaan di negara jiran Uganda kekal stabil, dengan dua kes disahkan dan satu kematian dilaporkan, kata ketua WHO.
Tiada kes baharu atau kematian direkodkan. Pada Ahad, WHO mengisytiharkan wabak Bundibugyo Ebola di DRC dan Uganda sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa yang membimbangkan.
Menurut WHO, ketika ini tiada vaksin tersedia untuk stren virus khusus itu dan dos dua vaksin calon yang berpotensi tidak mencukupi untuk memulakan ujian klinikal.
Vasee Moorthy, penasihat kanan di jabatan penyelidikan dan pembangunan WHO, berkongsi bahawa pembuatan vaksin berkenaan akan mengambil masa dua hingga tiga bulan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI