Skip to main content

Malaysia

Segera kuasai teknologi moden, jangan negara Islam mundur, dihina - PM Anwar

Majlis Ilmu MADANI, PM Anwar,
Anwar berkata cabaran utama umat Islam pada masa kini bukan sekadar mempamerkan kehebatan ilmu, malah untuk memastikan ilmu tersebut disulami kekuatan iman dan akhlak. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan umat Islam perlu menguasai ilmu serta teknologi baharu supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia yang pesat.

Menurutnya, tamadun Islam sejak dahulu dibina atas asas ilmu, justeru penguasaan terhadap teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan sektor tenaga baharu perlu menjadi keutamaan umat Islam masa kini.  

"Cabaran utama umat Islam ialah mengejar ilmu, dan tentunya untuk mengamalkan. Sekarang semua negara dunia mengejar kemajuan yang menuju ke arah penguasaan kecerdasan buatan (AI).

"Tadi saya hadir tinjauan ke Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) tentang pengkomputeran kuantum, bunyi pun dah tak berapa faham. Tetapi ini semua teknologi dan ilmu baharu yang wajar kita ceburi.

"Tadi Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2026 (ETCON 2026), pertukaran daripada bahan api fosil kepada hidrogen, kenderaan elektrik (EV) dan sebagainya.

"Kalau tak kuasai semua ini, kita ketinggalan, kita mundur, kita dihina," ujarnya ketika menyampaikan ucapan mukadimah pada Majlis Ilmu MADANI Perdana Menteri Malaysia Bersama Ulama, di sini, pada Khamis.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Syeikh Muhammad Hydara al-Jilani dan Syeikh Habib Ali Zainal Abidin.

Tambah Anwar, cabaran utama umat Islam pada masa kini bukan sekadar mempamerkan kehebatan ilmu, malah untuk memastikan ilmu tersebut disulami kekuatan iman dan akhlak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan sejarah membuktikan tamadun Islam berkembang dan disegani dunia kerana kekuatan ilmu yang dimiliki oleh para sarjana dan cendekiawan.

“Islam itu berdiri dengan ilmu, dengan tamadun, dengan keyakinan menguasai ilmu, mempengaruhi rantau serta dunia kerana asas ilmu,” katanya.  

Namun, beliau menegaskan ilmu yang dimaksudkan bukan sekadar ilmu teknologi atau sains semata-mata, tetapi ilmu yang mempunyai hubungan rapat dengan akidah.

Must Watch Video

Advertisement