Skip to main content

Malaysia

RUU pindaan Akta Pengangkutan Jalan dibentang Isnin, fokus banteras lumba haram - Loke

SEREMBAN, 24 Mei -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika ditemui media selepas Majlis Hi-Tea bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Komuniti Taman Coral Height hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang merangkumi 11 skop pindaan dan 42 fasal akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang merangkumi 11 skop pindaan dan 42 fasal akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata RUU itu dijadualkan untuk dibahaskan pada bacaan kali kedua pada Selasa, dan dijangka diluluskan pada hari yang sama.

Pindaan itu juga mendapat sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang yang turut menganggotai  Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. 

Loke berkata antara fokus pindaan komprehensif itu, termasuk memperkukuh tindakan terhadap kegiatan lumba haram yang masih menjadi ancaman serius kepada keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada setiap hujung minggu.

“Pindaan itu turut merangkumi langkah lebih tegas bagi membanteras kegiatan tonto serta memperkukuh aspek penguatkuasaan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya, dan memastikan pematuhan undang-undang yang lebih berkesan,” katanya pada sesi taklimat pindaan RUU itu kepada wakil media, di sini hari ini.

Selain itu, Loke berkata pindaan Akta 333 kali ini yang lebih menyeluruh turut merangkumi langkah lebih tegas, termasuk memperkenalkan peruntukan khusus berkaitan aktiviti menduga kelajuan serta mengawal selia penggunaan kenderaan mikromobiliti seperti e-skuter dan e-basikal.

Beliau berkata pindaan itu juga memberikan penekanan kepada transformasi digital Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk memperluas penggunaan dokumen elektronik dan penyampaian notis secara digital, selain memperketat tindakan terhadap kesalahan mengemukakan maklumat atau dokumen palsu kepada pihak berkuasa.

"Pindaan ini ialah satu pindaan yang komprehensif. Banyak perkara yang kita masukkan dalam pindaan kali ini," katanya.

Mengulas cadangan menaikkan kadar maksimum tawaran kompaun daripada RM300 ketika ini, Loke berkata langkah itu hanya melibatkan kesalahan tertentu yang dianggap serius dan berulang, termasuk berkaitan lesen kenderaan motor, lesen memandu, had kelajuan, pemeriksaan kenderaan serta pelanggaran isyarat dan arahan lalu lintas.

Beliau berkata kadar kompaun sedia ada dilihat tidak lagi memberikan kesan pencegahan yang mencukupi terhadap segelintir pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan berulang.

Loke berkata kerajaan bercadang memberikan tempoh peralihan sekurang-kurangnya dua tahun, sebelum kadar kompaun baharu dikuatkuasakan bagi membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dan memastikan pelaksanaannya dilaksanakan secara teratur.

Sementara itu, kementerian merancang satu lagi pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan yang dijangka dibentangkan pada hujung tahun ini.

"Pindaan kedua itu akan memberikan fokus kepada cadangan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan membabitkan pemandu mabuk, pemandu positif dadah atau pemanduan melulu bagi memastikan keadilan kepada mangsa," katanya.

-- BERNAMA
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement