Skip to main content

Malaysia

Remaja lelaki dilaporkan hilang sejak Isnin ditemukan maut dalam kemalangan

Sumber: FB POLIS DAERAH KOTA TINGGI
- Foto Polis Daerah Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas, ditemukan maut dalam kemalangan di Kilometer 8.2 Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC itu kira-kira 2.30 pagi.

Beliau berkata mayat yang ditemukan adalah Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman yang dipercayai keluar dari rumah di Felda Simpang Waha di sini pada 11 malam, Sabtu (11 Julai) lepas dengan menaiki motosikal secara berseorangan ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata mayat Muhammad Nasrulhaq telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Muhammad Nasrulhaq yang kali terakhir dihubungi semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira 4 pagi Ahad lepas. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement