PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap dua sahabat yang disabitkan kesalahan mengedar 231.93 gram methamphetamine (syabu) di sebuah rumah di Kuching, Sarawak, enam tahun lepas.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah turut mengekalkan hukuman 12 sebatan terhadap setiap tertuduh, Peter Chan Chia Yin, 32, dan Goh Sie Kiat, 34.
Hakim Azman yang bersidang bersama Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Hakim Datuk Nadzarin Wok Nordin menolak rayuan kedua-dua tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi ke atas mereka.
Dalam alasan penghakiman bertarikh hari ini yang dimuat naik di laman sesawang kehakiman, Hakim Lim berkata Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan tepat apabila mendapati kedua-dua perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Jelas bahawa perayu mempunyai kawalan dan jagaan terhadap dadah berkenaan serta mengetahui kewujudannya kerana mereka ditangkap ketika mengendalikan dan membungkus dadah tersebut.
“Peralatan berkaitan dadah turut ditemukan di atas meja yang berada tepat di hadapan mereka,” katanya.
Hakim Lim berkata dakwaan kedua-dua perayu bahawa dadah itu milik seorang rakan Chan yang didakwa diupah sebagai pekerja pengubahsuaian untuk membaiki tandas adalah alasan yang difikirkan kemudian.
Katanya mereka gagal mengemukakan versi berkenaan kepada saksi material pihak pendakwaan ketika perbicaraan berlangsung.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi turut menilai keterangan pegawai serbuan yang memaklumkan bahawa mereka mempunyai pandangan terus ke dalam bilik stor dan melihat kedua-dua perayu ditangkap ketika sedang mengendalikan dadah serta peralatan berkaitan di atas meja.
Katanya Mahkamah Rayuan perlu berhati-hati untuk mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh hakim bicara yang mempunyai kelebihan mendengar keterangan saksi secara langsung, melainkan terdapat alasan kukuh untuk tidak bersetuju dengan dapatan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Selangan Batu, Kuching, Sarawak, kira-kira11 malam pada 24 Dis 2019.
Berdasarkan fakta kes, polis bertindak hasil maklumat awam dan memasuki rumah berkenaan melalui pintu hadapan yang tidak berkunci sebelum menahan kedua-dua perayu ketika mereka sedang mengendalikan dan membungkus dadah di atas meja dalam sebuah bilik stor.
-- BERNAMA