Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: Polis terima 56 laporan, buka 18 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya

JOHOR BAHRU, 27 Jun -- Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri N41 Puteri Wangsa di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato' Onn hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata bagi tempoh empat hari sejak Jumaat lepas sahaja, sebanyak 32 laporan polis diterima dengan 10 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya telah dibuka. - Gambar fail/BERNAMA

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima keseluruhan 56 laporan polis dan membuka 18 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sejak 27 Julai lepas hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata bagi tempoh empat hari sejak Jumaat lepas sahaja, sebanyak 32 laporan polis diterima dengan 10 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya telah dibuka.

Beliau berkata ia melibatkan dua kertas siasatan di bawah Seksyen 4a(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan serta Seksyen 24b akta yang sama.

“Satu lagi melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kesalahan kempen pilihan raya dan batasannya.

“Selain itu, lapan kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibuka kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata sepanjang tempoh kempen PRN Johor, pihaknya telah menerima 3,484 permohonan permit dengan sejumlah 3,215 diluluskan, manakala 3,182 program dan aktiviti politik telah dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis Johor akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh pilihan raya, dan sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa kompromi.

“Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor berlangsung dalam suasana yang aman, selamat, harmoni dan teratur,” katanya.

Mengulas mengenai undi awal hari ini, Ab Rahaman memaklumkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan warga PDRM adalah sebanyak 95.42 peratus bersamaan 11,511 pengundi, dengan proses pengundian berlangsung lancar dan teratur tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Sebanyak 643 orang warga PDRM pula menunaikan hak mengundi secara pos yang bermula sejak Selasa lepas, dan kertas undi pos akan diterima semula pada Sabtu ini sebelum 5 petang,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 12,706 pegawai, anggota polis dan pasangan berdaftar sebagai pengundi awal bagi PRN Johor kali ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement