Skip to main content

Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan lancar tayangan perdana filem ‘Mojoku Hilang’

[TB]_Raja Muda Perlis ‘Mojoku Hilang’ KLCC_Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis
Syed Faizuddin dan Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama keluarga berkenan berangkat ke majlis tayangan perdana filem romantik komedi Mojoku Hilang yang berlangsung di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur, kelmarin. - Gambar ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke majlis tayangan perdana filem romantik komedi Mojoku Hilang yang berlangsung di TGV Suria KLCC, di sini, kelmarin.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan baginda disambut wakil Astro Shaw, penerbit, pengarah, barisan pelakon serta kru produksi filem berkenaan yang meraikan pelancaran rasmi karya arahan Min Lim itu.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Gala Premier Mojoku Hilang sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan industri kreatif negara, khususnya penghasilan karya yang mengetengahkan keunikan lokasi dan destinasi pelancongan tempatan.

Filem tersebut menampilkan gandingan pelakon terkenal Malaysia, Mimi Lana dan pelakon Indonesia, Adipati Dolken dalam sebuah naskhah yang mengangkat elemen romantik komedi dengan latar penceritaan yang dekat dengan budaya dan keunikan tempatan.

Lebih membanggakan, kira-kira 90 peratus penggambaran Mojoku Hilang dijalankan di Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), sekali gus menjadikan negeri itu sebagai lokasi utama filem berkenaan.

Antara destinasi yang diketengahkan termasuk Kampung Wai di Kuala Perlis, Tasik Timah Tasoh serta beberapa lokasi pelancongan ikonik lain yang memaparkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan identiti unik negeri paling utara Semenanjung itu.

Penghasilan filem berkenaan dilihat bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan industri perfileman tempatan, malah berpotensi memperkukuh usaha mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan menerusi medium seni dan hiburan, selaras dengan aspirasi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026.

Must Watch Video

Advertisement