PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli membangkitkan kebimbangan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya mungkin dipengaruhi unsur emosi.
Ia susulan kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, yang dilapor tidak akan memaafkan pihak yang menyerang atau mengkritiknya tanpa sebab.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata kenyataan yang dibuat dalam amanat perpisahan Azam pada Selasa lalu, menimbulkan persoalan mengenai kebebasan dan profesionalisme institusi penguat kuasa berkenaan.
“Tambahan dalam situasi (siasatan kes) saya apabila Azam menyebut dia tidak akan maafkan orang yang menyerang. Maksudnya, ada elemen emosi yang besar dalam kenyataan itu dan dalam tempoh dua hingga tiga tahun yang lepas daripada sebelum kerajaan ini mengambil alih hinggalah setahun yang lepas, antara orang yang paling lantang mengkritik Azam adalah saya,” katanya selepas ditemui di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Khamis.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, agensi penguat kuasa yang diamanahkan melaksanakan undang-undang tidak seharusnya dipengaruhi emosi atau perasaan peribadi terhadap individu yang disiasat.
Rafizi menjelaskan beliau antara individu yang lantang mengkritik Azam termasuk berkaitan isu pemilikan saham, demi memastikan SPRM bukan sahaja bebas dan bersih tetapi turut diyakini sebagai institusi yang bebas.
Sehubungan itu, beliau mendakwa perkara itu menimbulkan tanda tanya sama ada siasatan yang dibuka terhadapnya kira-kira dua bulan lalu mempunyai kaitan dengan rasa tidak puas hati atau unsur emosi tertentu.
“Sudah tentu itu menimbulkan banyak lagi tanda tanya sama ada kes-kes yang lain pun adakah ada unsur-unsur emosi.
“Azam juga dah buat kenyataan bahawa SPRM akan mencadangkan supaya dua orang dituduh. Jadi perkara-perkara ini bila kita lihat secara keseluruhan memang menjadi hak saya untuk menanyakan dan menimbulkan balik sama ada siasatan terhadap saya ini ada dipengaruhi oleh unsur-unsur emosi Azam sebab dia yang berkuasa membuka dan mengarahkan siasatan,” dakwa Rafizi.
Dalam pada itu, Rafizi mendakwa antara saksi yang belum dipanggil bagi membantu siasatan perjanjian pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Holdings plc, adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Pada 7 Mei lalu Rafizi selesai memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selepas empat hari berturut-turut hadir bagi membantu siasatan kes
SPRM memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.