IPOH: Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah bukan sekadar sebuah kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan satu penghijrahan pemikiran, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Titah baginda, ia lambang penghijrahan pendekatan, merealisasikan wawasan dan hasrat negara mahu mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi ke tahap yang lebih maju, berteknologi tinggi dan diperkukuhkan dengan perkhidmatan yang mengutamakan nilai kemanusiaan serta menghayati nilai keinsanan.
Menurut baginda, pusat itu juga bukan sekadar kompleks yang dilengkapi peralatan moden lagi canggih; malah diperhebat dengan tenaga pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan, teknologi bantuan, fisioterapi, serta terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial dan sokongan psikologi yang diadun dalam ekosistem bersepadu.
“Wawasan dan hasrat negara ini jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat khususnya warga pekerja.
“Pusat ini harus dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga; simbol bahawa musibah bukan noktah terakhir kepada kehidupan; simbol bahawa dengan sistem yang betul, masyarakat yang peduli dan peluang yang disediakan, seseorang insan tidak perlu hidup atas ihsan bantuan orang lain, tetapi boleh kembali membina masa hadapan yang bermaruah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di sini, hari ini.
Titah baginda, adalah menjadi tuntutan fardu kifayah dan tanggungjawab keinsanan untuk membantu meringankan tanggungan mereka yang ditimpa dugaan hidup.
“Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui tersergamnya deretan bangunan pencakar langit, atau jejambat yang bersimpang siur, atau pelabuhan dan lapangan terbang yang besar, atau angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
“Kemajuan yang sebenar terletak pada keupayaan negara dan kesungguhan negara memperkenalkan dan melaksanakan program-program sosial untuk memelihara martabat insan, membela mereka yang lemah, dan menyediakan peluang kedua kepada sesiapa sahaja yang menghadapi nasib malang diuji dengan penyakit, kecederaan atau kehilangan upaya,” tambah baginda.
Sultan Nazrin menghargai penghormatan yang diberikan dengan sembah cadangan untuk mengabadikan nama baginda di pusat itu.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan dan memudahkan pembinaan pusat rehabilitasi berkenaan.
Menurut baginda, idea membangunkan pusat itu di negeri Perak dicetuskan oleh ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran ketika diamanahkan sebagai Menteri Sumber Manusia sebelum diteruskan oleh Datuk Seri M. Saravanan, V. Sivakumar, Steven Sim Chee Keong dan akhirnya dirasmikan ketika Datuk Seri R. Ramanan.
Titah baginda, pembangunan pusat itu dipermudahkan, dan dapat dilaksanakan dengan cepat melalui sokongan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta bantuan juga kerjasama rapat daripada pelbagai jabatan dan agensi di peringkat negeri.
Menurut baginda membangunkan kompleks sehebat itu melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai peranan, merangkumi pemikiran, idea, lakaran, perolehan, pembinaan, bekalan, kelulusan, latihan dan pengisian.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin mengajak rakyat supaya menolak budaya yang melihat orang yang mengalami kecederaan atau tidak berkeupayaan sebagai beban.
Titah baginda, mereka jangan disisih dan dipandang rendah kerana mereka juga adalah sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Malaysia.
Baginda bertitah, setiap daripada mereka mempunyai pengalaman, kemahiran, pengetahuan, semangat serta nilai, dan masih boleh berperanan memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
“Hargailah bahawa setiap insan mempunyai nilai, bakat, maruah dan potensi.
“Apa yang mereka perlukan ialah sokongan, akses, latihan, peluang dan kepercayaan.
“Masyarakat hendaklah menghapus prejudis terhadap anggota masyarakat yang telah menghadapi kecacatan fizikal,” titah baginda.
Di sebaliknya masyarakat mempunyai tanggungjawab, Sultan Nazrin bertitah, tampil ke hadapan turut membantu usaha-usaha PERKESO, dengan membuka ruang yang sesuai dan memberikan peluang yang selayaknya kepada mereka yang telah selesai menjalani rawatan rehabilitasi agar dapat kembali hidup berdikari.
Baginda turut mengalu-alukan usaha yang dirintis oleh PERKESO memeterai kerjasama dengan 7-Eleven untuk menyediakan program latihan bekerja pasca rawatan, dengan potensi ditawarkan pekerjaan merupakan satu pendekatan strategik.
Baginda berharap lebih banyak pihak swasta tampil menawarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pusat-pusat rehabilitasi PERKESO, latihan vokasional dan menyediakan peluang pekerjaan pasca rawatan rehabilitasi.
Sultan Nazrin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan dan memudahkan pembinaan pusat rehabilitasi berkenaan.
Menurut baginda membangunkan kompleks sehebat itu melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai peranan, merangkumi pemikiran, idea, lakaran, perolehan, pembinaan, bekalan, kelulusan, latihan dan pengisian.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut menyampaikan sijil kepada pesakit pertama pusat rehabilitasi ini, Omar Abdul Hamid, yang telah pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan pemulihan selama 39 hari.