Skip to main content

Malaysia

Pulau Carey bakal jadi pemacu baharu hab maritim negara - Anthony Loke

Kuala Lumpur , 8 Julai 2026.Menteri Pengangkutan , Loke Siew Fook menyampaikan ucapan berikutan Majlis Perasmian ASEAN Ports and Logistics 2026 Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anthony berkata projek mega itu akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh hampir 20 tahun menerusi kerjasama sektor awam dan swasta. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey di Selangor dijangka menjadi projek infrastruktur maritim strategik yang mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab maritim utama di Asia Tenggara serta meningkatkan daya saing sektor logistik negara dalam jangka panjang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek mega itu akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh hampir 20 tahun menerusi kerjasama sektor awam dan swasta, selepas beberapa urusan termasuk berkaitan pengambilan tanah diselesaikan bersama Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan kelulusan prinsip bagi meneruskan projek berkenaan susulan selesainya kajian kebolehlaksanaan yang dimulakan sejak 2018.

“Sejurus isu tanah dapat diselesaikan, kita akan memulakan projek ini. Ia akan dibangunkan dalam beberapa fasa dan keseluruhan pembangunan dijangka mengambil masa hampir 20 tahun untuk disiapkan kerana melibatkan pelbagai komponen serta fasa pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelabuhan dan Logistik ASEAN 2026 di sini hari ini.

Anthony berkata pembangunan Pelabuhan Pulau Carey akan melengkapkan ekosistem Pelabuhan Klang melalui pengembangan kapasiti sedia ada Northport dan Westports, sekali gus membentuk sebuah megaport yang berupaya mengendalikan jumlah kontena yang jauh lebih besar.

“Apabila Pelabuhan Pulau Carey dibangunkan, ia akan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai sebuah megaport. Penambahan kapasiti Westports dan Pelabuhan Pulau Carey sudah tentu mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata projek itu penting bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dengan pelabuhan utama serantau, khususnya Tuas Port di Singapura yang mempunyai kapasiti pengendalian sehingga 60 juta unit kontena bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.

“Jika kita tidak membuat perancangan dari sekarang, Malaysia berisiko ketinggalan dari segi kapasiti dan infrastruktur pelabuhan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Sebab itu perancangan jangka panjang perlu dimulakan sekarang. Jika tidak, menjelang 2050 kita akan ketinggalan jauh berbanding negara jiran,” katanya.

Menurut Anthony, pelabuhan merupakan aset strategik negara memandangkan lebih 90 peratus perdagangan antarabangsa Malaysia bergantung kepada pengangkutan laut.

Must Watch Video

Advertisement