Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: 'Pesta demokrasi', durian runtuh buat peniaga

SIMPANG RENGGAM, 1 Julai -- Peniaga warung di Felda Layang-Layang, Bahari Madiran, 76, teruja menyaksikan pengunjung daripada pelbagai kaum, dan agama yang berkumpul di warungnya ketika berkempen di Kampung Layang - Layang.  Kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja menghidupkan suhu politik, malah turut membawa limpahan rezeki luar biasa buat peniaga kecil di sekitar kawasan Layang-Layang dan Simpang Renggam.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Peniaga warung di Felda Layang-Layang, Bahari Madiran, teruja menyaksikan pengunjung daripada pelbagai kaum, dan agama yang berkumpul di warungnya ketika berkempen di Kampung Layang-Layang. - Foto BERNAMA

KLUANG: Musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar menjadi medan 'pesta' demokrasi, malah ia kini bertukar menjadi lubuk rezeki luar biasa buat peniaga kecil di sekitar kawasan Layang-Layang dan Simpang Renggam di sini.

Bagi peniaga warung di Felda Layang-Layang, Noorma Zafmeeden, 70, beliau mengakui tidak menang tangan melayani kunjungan luar biasa pelanggan yang jauh melampaui jangkaan rutin harian mereka.

Katanya, sebelum ini pendapatan harian warungnya yang menjual roti canai dan nasi lemak jarang  mencecah RM400 pada sebelah pagi, namun senario itu berubah secara drastik sebaik sahaja kempen PRN bermula.

"Hari-hari biasa pendapatan kami biasa-biasa sahaja, tetapi apabila tiba musim pilihan raya ini, memang ada rezeki lebih yang melimpah-limpah," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Noorma dan suaminya Bahari Madiran, 76, yang menetap di tanah rancangan persekutuan itu sejak 1987 gigih mengekalkan rutin menyediakan menu 'signature' rakyat Malaysia itu seawal subuh, sebelum menyambung jualan pelbagai jenis gorengan pada waktu petang.

Bagi Bahari warung mereka kini menjadi 'wadah penyatuan' apabila dikunjungi pelanggan pelbagai kaum dan agama dalam suasana yang cukup harmoni.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata kehadiran pelanggan dalam jumlah yang besar memberikan kepuasan tersendiri kerana beliau berpeluang beramah mesra dengan ramai 'orang luar' dan petugas yang datang dari pelbagai pelosok negara.

Sementara itu, fenomena 'durian runtuh' ekonomi tersebut turut dirasai peniaga nasi campur di pekan Simpang Renggam, Ahmad Ridzuan Awang, 45, kerana jualan lauk-pauknya meningkat dua kali ganda pada musim pilihan raya. 

"Kebiasaannya puluhan jenis lauk-pauk hanya habis menjelang petang, tetapi sejak kempen PRN bermula, seawal 1.30 tengah hari kuali sudah licin ekoran menerima tempahan pukal daripada pelbagai pihak," katanya.

Ahmad Ridzuan menyifatkan kehadiran 'pelancong politik' bukan sahaja menguntungkan pengusaha kedai makan, malah mencetuskan rantaian ekonomi positif buat pembekal bahan mentah tempatan di kawasan sekitarnya.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement