Skip to main content

Malaysia

Polis tumpaskan sindiket pengedaran ganja, syabu bernilai RM17.8 juta

Shah Alam , 18 Mei 2026. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar  pada Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Mes Pegawai kanan Polis, IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Shazeli bercakap pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

SHAH ALAM: Polis menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah jenis bunga ganja dan syabu seberat 251.8 kilogram (kg) bernilai RM17.8 juta, hasil operasi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ampang.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata menerusi operasi dilakukan pada  6, 9 dan 10 Mei lepas itu, polis menahan enam warga asing termasuk tiga wanita selepas mengesan bagasi yang mencurigakan semasa melalui mesin pengimbas. 

Beliau berkata kesemua suspek yang dipercayai merupakan sindiket berasingan membawa 254 bungkus bunga ganja seberat 172.8kg bernilai RM13.85 juta dalam sembilan bagasi. 

“Keenam-enam suspek terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita warganegara asing, berusia antara 17 hingga 31 tahun itu ditahan sekitar Terminal KLIA dan dipercayai memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. 

“Mereka dipercayai menerima upah sekitar 3,000 euro hingga 5,000 euro untuk membawa bahan terlarang itu. Saringan air kencing turut mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis THC,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini hari ini. 

Selain itu, Shazeli berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun dipercayai berperanan sebagai transporter dadah di hadapan sebuah premis di Ampang Jaya, pada 11 Mei lepas. 

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan digunakan suspek menemukan 79 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 79kg bernilai RM3.95 juta. 

“Orang awam diingatkan agar tidak terlibat sebagai ‘keldai dadah’ dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya. 

“Jangan mudah terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya. 

Kesemua suspek sedang direman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video