MALE: Pasukan penyelamat menemukan mayat empat penyelam warga Itali yang dilaporkan hilang selepas terlibat dalam kemalangan skuba di Maldives minggu lalu, menurut pihak berkuasa.
Kesemua mayat ditemui di dalam sebuah gua marin pada kedalaman kira-kira 60 meter di Atoll Vaavu oleh pasukan penyelam pakar dari Finland dan Maldives.
Sebelum ini, mayat seorang lagi penyelam daripada kumpulan sama ditemukan sejurus selepas insiden itu pada Khamis lalu.
Tragedi berkenaan turut meragut nyawa seorang penyelam penyelamat warga Maldives pada Sabtu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Insiden itu dipercayai antara kemalangan menyelam paling buruk pernah direkodkan di negara kepulauan Lautan Hindi tersebut, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan popular.
“Beberapa selaman lanjut akan dijalankan dalam beberapa hari akan datang untuk membawa keluar mayat berkenaan,” kata jurucakap kerajaan Maldives, Mohamed Hossain Shareef.
Menurutnya, dua mayat dijadual dibawa keluar pada Selasa, manakala baki dua lagi pada hari berikutnya.
Kementerian Luar Itali mengesahkan kesemua mayat ditemui di bahagian dalam gua yang sukar diakses, sekali gus memerlukan operasi tambahan bagi proses mengeluarkan jasad.