KUALA TERENGGANU: Polis menahan tujuh lelaki berumur antara 16 hingga 43 tahun atas pelbagai kesalahan dalam Ops Lejang Khas yang dijalankan di seluruh Terengganu bermula dari 19 hingga 25 Julai lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata operasi dijalankan bagi membanteras jenayah kecurian kenderaan, mengesan barang curi, serta memelihara ketenteraman awam menerusi tindakan penguatkuasaan undang-undang yang ketat.
Beliau berkata sebanyak 60 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan polis daerah telah digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti sepanjang operasi.
"Dalam operasi itu, polis telah memeriksa 185 individu, 415 kenderaan di 66 premis termasuk bengkel dan kedai barangan alatan terpakai bagi memastikan pemilik premis mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam aktiviti membeli atau menjual barang curi.
"Tindakan telah diambil mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan atas pemilikan barang yang dimiliki dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi kenderaan motor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata selain tangkapan, polis turut menyita pelbagai barangan kes berkaitan aktiviti kecurian termasuk motosikal, komponen enjin serta topi keledar.
Beliau berkata Ops Lejang Khas akan diteruskan secara berkala sebagai langkah pemantauan berterusan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau jenayah curi kenderaan ke balai polis berhampiran, Bilik Gerakan Daerah atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol.
-- BERNAMA