TAPAH: Polis telah mengambil keterangan tujuh individu, termasuk suami mangsa bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang selepas mendaki Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah DSP Mohd Fadzil Ismail berkata enam lagi yang dipanggil memberi keterangan ialah Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang menyertai operasi berkenaan.
“Kami ambil keterangan bagi mengetahui dan memudahkan urusan pencarian dilakukan. Kami akan bertukar maklumat dengan bomba dan hasilnya setakat ini positif,” katanya pada sidang media selepas hadir di Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon.
Mohd Fadzil berkata operasi bersepadu dan terancang pelbagai agensi diharap membawa kepada penemuan Jaslinda Saludin, 49, yang telah hilang lebih 72 jam dan terputus sumber minuman dan makanan.
Beliau turut berharap keluarga mangsa diberikan ruang, selain orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan operasi yang dilaksanakan.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lepas melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun mangsa dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei lepas (7.30 pagi).
-- BERNAMA