KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu yang diperkenalkan kerajaan tampil dengan 94 ciri keselamatan, hampir dua kali ganda berbanding 49 ciri pada versi terdahulu, sekali gus memperkukuh perlindungan terhadap pemalsuan, manipulasi identiti dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penambahbaikan itu merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memastikan dokumen perjalanan negara terus memenuhi perkembangan teknologi serta cabaran keselamatan global yang semakin kompleks.
“PMA baharu bukan sekadar menampilkan reka bentuk yang lebih moden, tetapi merupakan penambahbaikan menyeluruh dari aspek keselamatan, teknologi dan kemudahan kepada rakyat. Peningkatan ciri keselamatan ini bertujuan melindungi integriti pasport Malaysia daripada sebarang cubaan pemalsuan dan penyalahgunaan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam Agenda AWANI pada Isnin.
Zakaria berkata, PMA baharu dilengkapi pelbagai elemen keselamatan visual, tersembunyi dan forensik termasuk hologram, guilloche, latent image, rainbow printing serta cetakan ultraungu (UV), yang menyukarkan sebarang cubaan mengubah atau memalsukan dokumen tersebut.
“Pasport baharu ini juga turut dibangunkan mengikut spesifikasi serta piawaian yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) bagi dokumen perjalanan yang boleh dibaca mesin dan pasport elektronik.
“Beberapa teknologi keselamatan yang digunakan merupakan teknologi terkini yang turut diguna pakai oleh negara-negara maju. Ini memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa terus diiktiraf sebagai antara dokumen perjalanan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai rekod tersendiri sebagai antara negara terawal di dunia memperkenalkan e-Pasport pada 1998 menerusi penggunaan cip biometrik dan teknologi keselamatan digital, sekali gus mendahului banyak negara ketika itu.
“Ketika itu Malaysia telah mendahului banyak negara dengan memperkenalkan penggunaan cip biometrik dan teknologi keselamatan digital.
“Hari ini kita meneruskan legasi tersebut melalui PMA baharu yang lebih moden, lebih selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan ICAO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mulai 1 Julai 2026 lalu, warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas diberi pilihan untuk memohon PMA dengan tempoh sah laku lima atau 10 tahun mengikut keperluan masing-masing.
Katanya, pasport 10 tahun ditawarkan pada kadar bayaran RM350, manakala bayaran pasport lima tahun kekal RM200, sekali gus memberi nilai lebih baik kepada mereka yang kerap melakukan perjalanan ke luar negara selain mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport.
Beliau turut menegaskan bahawa orang ramai tidak diwajibkan menukar pasport sedia ada kepada PMA baharu kerana pasport yang masih sah boleh terus digunakan sehingga enam bulan sebelum tamat tempoh sah laku.
Sebaliknya, pemegang pasport akan menerima PMA baharu apabila memperbaharui dokumen perjalanan masing-masing mengikut kelayakan.