Skip to main content

Malaysia

PM tekankan keperluan kuasai AI tanpa ketepi nilai dan jati diri

Anwar Ibrahim, MPI.
Perdana Menteri berkata dalam mendepani kemajuan teknologi AI, negara perlu mengimbangi keperluan menguasai teknologi baharu dengan usaha mempertahankan nilai, budaya dan akhlak masyarakat. - Foto AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan industri media menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dengan memperkukuh keupayaan serta kemahiran, tanpa mengabaikan nilai, etika kewartawanan dan jati diri.

Beliau berkata perkembangan AI perlu dilihat sebagai kekuatan serta cabaran baharu yang memerlukan kesiapsiagaan semua pihak, termasuk dalam bidang media.

Jelasnya, dalam mendepani kemajuan teknologi AI, negara perlu mengimbangi keperluan menguasai teknologi baharu dengan usaha mempertahankan nilai, budaya dan akhlak masyarakat.

"Dalam perbicaraan tentang AI, dan saya kira ada kaitan dengan media, kita bicara tentang keperluan menggapai teknologi baharu, tetapi waspada tentang kehilangan jati dari serta lunturnya nilai dan etika.

"Ini dibahaskan secara serius terutama (dalam perkembangan)teknologi ini, seperti mana kita lalui dulu, di mana seluruh media, itu dikuasai secara dominan oleh kekuatan barat, yang menentukan hala tuju dan berrdasarkan liputan berita yang mereka mahu sampaikan," kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2025 yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan teknologi maklumat dan AI kini turut membawa cabaran apabila ia boleh dimanfaatkan oleh pihak tertentu bagi memenuhi kepentingan ideologi, kefahaman dan budaya yang mungkin bertentangan dengan nilai tempatan.

"Pertembungan dalam hal ini adalah kerana negara terpaksa bergelut untuk menguasai teknologi baharu, tetapi negara juga harus diperingatkan supaya tidak miskin dan gersang dari segi nilai.

"Bagaimana kita harus menghambat memenuhi keperluan teknologi baharu sementara mempertahankan nilai dan akhlak, perkara ini masih belum dijawab dengan memuaskan," katanya.

Beliau turut memuji usaha pengamal media termasuk Institut Akhbar Malaysia (MPI) dalam meneroka inovasi baharu termasukmelalui penubuhan Majlis Media Malaysia bagi memastikan industri media tidak terperangkap dalam keadaan "captive mind" atau pemikiran terikat.

Perdana Menteri menambah kerajaan melalui Kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memainkan peranan membantu menangani cabaran berkenaan melalui kerjasama dengan industri media.

 

Must Watch Video

Advertisement