Skip to main content

Malaysia

PM Anwar arah KPKM segera sediakan langkah mitigasi hadapi Super El Nino

Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini, yang meneliti agenda memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan kesejahteraan petani, pesawah, penternak dan nelayan. Mesyuarat membincangkan jangkaan fenomena Super El Niño yang diramal melanda Malaysia bermula November 2026. KPKM diminta segera menyediakan langkah mitigasi bagi mengurangkan impaknya terhadap pengeluaran makanan serta memastikan komuniti p
Anwar semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) segera menyediakan langkah mitigasi bagi menghadapi fenomena Super El Nino yang diramal melanda Malaysia bermula November ini.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengurangkan impak fenomena berkenaan terhadap pengeluaran makanan negara, selain memastikan komuniti petani terus dilindungi.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat itu membincangkan isu kerjasama sektor perikanan dengan Kerajaan Thailand.

“Saya mengarahkan KPKM untuk memuktamadkan perkara ini dengan segera melalui saluran yang sewajarnya, tanpa berkompromi terhadap piawaian keselamatan dan kualiti makanan.

"Libat urus berterusan juga mesti dilaksanakan bersama komuniti nelayan agar produk mereka dapat memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya.

Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut meneliti agenda memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan kesejahteraan petani, pesawah, penternak dan nelayan.

Beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh sektor agromakanan melalui penggunaan teknologi, inovasi serta amalan terbaik bagi memastikan pengeluar tempatan terus berdaya saing, sekali gus menjamin bekalan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement