SINGAPURA: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana, pada Selasa.
Sebelum pelantikan ini, Anizan Siti Hajjar berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perkhidmatan Pengurusan) di Kementerian Luar sejak 2023.
Beliau menyertai kementerian itu pada 1994.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada (2021-2023) dan Duta Besar Malaysia ke Ireland (2017-2018).
Anizan Siti Hajjar juga pernah ditugaskan ke Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York serta Perwakilan Tetap Malaysia ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.
Sementara itu, Duta Emiriah Arab Bersatu ke Singapura, Dr Abdulnasser Jamal Hussain Mohammed Al Shaali turut menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden dalam satu majlis berasingan pada Selasa, menurut Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA