KUALA LUMPUR: Sebarang perbincangan mengenai perpaduan dalam masyarakat majmuk perlu mengambil kira sejarah pembentukan negara dengan menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan utama.
Bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman berkata kepelbagaian masyarakat Malaysia terbentuk menerusi proses sejarah yang panjang apabila pemimpin pelbagai kaum memilih jalan rundingan dan kompromi berbanding konflik dalam mencapai kemerdekaan pada 1957 serta membentuk Malaysia pada 1963.
“Perlembagaan Persekutuan menjadi bukti paling kukuh bahawa kepelbagaian merupakan asas negara. Ia menjamin hak asasi, kebebasan beragama, kedudukan bahasa kebangsaan serta institusi Raja Berperlembagaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Fadzil berkata menghormati Perlembagaan Persekutuan turut bermakna menghormati asas pembentukan negara, manakala sebarang retorik yang menolak kewujudan atau hak mana-mana kelompok hanya akan menghakis kepercayaan antara rakyat.
Beliau berkata penyebaran pantas kenyataan berbaur sentimen perkauman menerusi media sosial menuntut masyarakat sivil, ahli akademik dan media memainkan peranan lebih besar dalam memastikan perbincangan awam berlandaskan fakta serta semangat saling menghormati.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Azmi Hassan berkata kepelbagaian kaum dan etnik yang wujud di Malaysia sejak sebelum merdeka perlu terus diperkasa sebagai asas untuk memperkukuh perpaduan negara.
Beliau berkata kepelbagaian itu merupakan keunikan dan kelebihan yang tidak dimiliki oleh kebanyakan negara lain, sekali gus wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha menyemai jati diri serta semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda.
“Kepelbagaian itu kekuatan. Sebelum merdeka terdapat tiga kaum utama di Semenanjung, iaitu Melayu, Cina dan India, yang bersama-sama membangunkan Persekutuan Tanah Melayu.
“Selepas pembentukan Malaysia, kepelbagaian itu bertambah dengan penyertaan pelbagai kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian inilah yang telah membangunkan Malaysia sejak sebelum merdeka sehingga hari ini,” katanya.
Azmi berkata masyarakat Cina dan India di negara ini juga tidak lagi mempunyai hubungan langsung dengan negara asal nenek moyang mereka selepas melalui beberapa generasi, sekali gus membentuk sebahagian daripada identiti Malaysia.
Dalam konteks berkaitan, kemajmukan masyarakat hari ini turut merangkumi generasi muda yang perlu melalui tiga proses, iaitu belajar, mempelajari semula (relearn) dan meninggalkan tanggapan tidak tepat (unlearn) bagi membina Malaysia yang lebih inklusif.
Pensyarah dan penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata sejarah bukan sekadar catatan fakta mengenai masa lalu, sebaliknya sumber pembelajaran penting untuk masa depan negara.
“Belajar bermaksud generasi muda memahami bagaimana negara ini dibina melalui kompromi, toleransi dan kerjasama antara pelbagai komuniti. Relearn pula mengajak mereka menilai semula sejarah daripada perspektif yang lebih luas, berasaskan penyelidikan dan bukti, bukan naratif yang diwarisi tanpa pemikiran kritis dan analitis.
“Unlearn pula bukan bermaksud menolak sejarah, tetapi membuang tafsiran yang tidak lagi sesuai dengan realiti masyarakat moden,” katanya.
Beliau berkata sekiranya mampu melalui ketiga-tiga proses itu, generasi muda bukan sahaja akan menjadi warganegara yang lebih berpengetahuan, malah lebih matang, berempati dan bersedia membina Malaysia yang lebih inklusif berteraskan konsep “perpaduan dalam kepelbagaian”.
Mohd Azhar berkata institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu menyediakan lebih banyak pembelajaran berasaskan pengalaman, antaranya projek komuniti, khidmat masyarakat, pertukaran budaya serta tugasan berkumpulan yang membabitkan pelajar daripada latar belakang berbeza.
“Kandungan sejarah juga perlu diajar secara lebih kritis dan inklusif. Generasi muda perlu memahami bukan sahaja kejayaan negara, tetapi juga cabaran yang pernah dihadapi supaya mereka dapat menghargai mengapa perpaduan begitu penting,” katanya.
Beliau berkata tanggungjawab pemimpin kini jauh lebih besar berbanding dahulu kerana setiap ucapan boleh tersebar kepada jutaan orang dalam tempoh beberapa minit, justeru bahasa dan retorik yang digunakan mestilah bersifat menyatukan, bukannya memecahbelahkan.
Beliau berkata retorik perpaduan mesti diterjemahkan secara konsisten menerusi dasar, tindakan dan keputusan, bukan sekadar slogan.
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) pula, katanya, perlu dipandu oleh prinsip etika, ketelusan dan akauntabiliti supaya teknologi itu menjadi alat untuk memperkukuh perpaduan, bukannya memperluas polarisasi.
“Kepimpinan bukan hanya diukur melalui apa yang diperkatakan, tetapi melalui contoh yang ditunjukkan setiap hari,” katanya.
-- BERNAMA