Skip to main content

Malaysia

Perkukuh kefahaman bahasa ibunda, elak isu 3R - Yuneswaran

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2571213
Yuneswaran berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemunculan isu 3R adalah kurangnya pemahaman masyarakat terhadap sejarah, bahasa dan budaya antara satu sama lain. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kefahaman terhadap bahasa ibunda perlu diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang sering tercetus di media sosial daripada terus menjadi punca perpecahan dalam masyarakat.

Yuneswaran berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemunculan isu 3R adalah kurangnya pemahaman masyarakat terhadap sejarah, bahasa dan budaya antara satu sama lain.

“Hampir setiap hari kita melihat isu berkaitan 3R seperti kaum, agama dan institusi diraja tercetus di media sosial. Bagi saya, antara puncanya ialah apabila masyarakat kurang memahami sejarah, bahasa dan budaya antara satu sama lain. 

“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi membawa identiti, warisan dan nilai yang membentuk sesebuah komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Yuneswaran berkata Malaysia yang memiliki lebih 130 bahasa adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian linguistik dan warisan budaya yang perlu diraikan sebagai kekuatan, bukannya dijadikan faktor yang memecahbelahkan rakyat.

Beliau juga percaya penguasaan bahasa ibunda tidak menjadi penghalang untuk rakyat mencintai bahasa kebangsaan atau menguasai bahasa lain.

“Sebagai anak berbangsa India yang lahir daripada aliran sekolah Cina dan Kebangsaan, saya percaya penguasaan bahasa ibunda tidak pernah menghalang kita untuk mencintai bahasa kebangsaan dan menguasai bahasa lain.

“Sebaliknya, ia menjadikan kita lebih memahami akar budaya sendiri dan lebih menghormati budaya orang lain,” katanya.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Perpaduan Negara memikul amanah besar untuk memperkukuh pembinaan negara bangsa melalui pendekatan yang berteraskan kefahaman, rasa hormat dan kesediaan untuk saling mengenali.

“Usaha ini bermula dengan kefahaman, hormat dan kesediaan untuk saling mengenali… Bahasa menyatukan kita. Perpaduan menguatkan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement