PADANG BESAR: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama menyeluruh daripada institusi keluarga, komuniti serta semua agensi kerajaan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan usaha membina masyarakat bebas dadah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berterusan.
Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan perkembangan inisiatif AADK kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Program Kayuhan Berinformasi sempena Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) anjuran AADK Negeri Perlis di sekitar Felda Mata Air, di sini pada Rabu.
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Menurut Ruslin, institusi keluarga perlu menjadi benteng utama dalam membentuk masyarakat yang bebas daripada ancaman dadah sebelum peranan itu diperkukuhkan oleh komuniti dan agensi kerajaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Tuanku Syed Faizuddin yang sentiasa mengangkat aspirasi Perlis sebagai negeri bebas dadah serta konsisten memberi penekanan terhadap usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dan pengamalan gaya hidup sihat.
Katanya, Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah menjadi platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara jabatan dan agensi, selain memperluaskan penyampaian mesej pencegahan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, beliau berharap setiap ketua jabatan yang menyertai program itu dapat meneruskan mesej kesedaran tersebut kepada pegawai dan kakitangan di organisasi masing-masing kerana mereka merupakan ejen penyampai yang berpengaruh dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah di peringkat komuniti.
Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban perbelanjaan harian.
Penerima berkenaan ialah Mad Kasa Talib, 70, dari Felda Mata Air; Dan @ Zain Salleh, 81, dari Kampung Sena Dalam, Jalan Padang Besar; serta Che Mah Ariffin, 70, dari Felda Mata Air.