KUALA LUMPUR: Status pembangunan instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 886), tahap keselamatan murid di seluruh negara serta langkah membantu usahawan mikro yang terkesan akibat krisis di Asia Barat antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta Menteri Komunikasi menyatakan senarai lengkap, objektif kawal selia, kandungan utama, skop serta status terkini pembangunan 10 instrumen subsidiari, termasuk peraturan dan garis panduan di bawah Akta 886 bagi mewujudkan pendekatan keselamatan dalam talian yang lebih tersusun.
Turut tersenarai pada sesi itu ialah pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) kepada Menteri Pendidikan mengenai tahap keselamatan murid di sekolah seluruh negara serta langkah memastikan persekitaran sekolah bebas daripada risiko kemalangan, gejala buli dan ancaman lain.
Selain itu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah segera dan konkrit kerajaan bagi membantu peniaga kecil, penjaja serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terbeban dan berisiko gulung tikar akibat lonjakan kos logistik serta gangguan rantaian bekalan susulan krisis berpanjangan di Asia Barat.
Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pula, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dijadual membangkitkan status pelaksanaan projek e-ART Johor kepada Menteri Pengangkutan.
Isu keselamatan jalan raya turut menjadi perhatian apabila Zakri Hassan (PN-Kangar) meminta Menteri Kerja Raya menjelaskan justifikasi pelaksanaan laluan ‘Smart Lane’ di beberapa jajaran Lebuhraya PLUS dengan mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.
Sektor kesihatan dan persekitaran turut menjadi agenda penting menerusi soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) kepada Menteri Kesihatan berhubung jaminan bahawa dasar pelarasan fiskal kerajaan tidak menjejaskan ekosistem penyampaian perkhidmatan serta pembangunan fasiliti kesihatan awam di Sabah.
Riduan Rubin (Bebas-Tenom) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan penilaian risiko keselamatan siber negara sekiranya had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial dilaksanakan.
Turut dijadualkan pada persidangan itu ialah pembentangan Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari dan dijadual berakhir pada 16 Julai ini.
-- BERNAMA