KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan yang memperkenalkan penjenamaan dan slogan seiring visi ahli politik yang mengetuai pentadbiran telah menyebabkan rukun negara dipinggirkan.
Pengasas gerakan Rakyat Penyelamat Negara (RAPERA), Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata rukun negara sepatutnya sudah cukup untuk dijadikan landasan kepada dasar-dasar kerajaan.
“Kenapa rukun negara ditinggalkan? Saya salah orang politik. Sejak sekian lama, apabila berlaku perubahan (ketua pentadbiran) kerajaan, orang politik suka wujudkan slogan; Islam Hadhari, Islam Madani dan lain-lain.
“Walhal, kita sudah ada rukun negara yang timbul daripada satu pengalaman iaitu 13 Mei. Daripada pengalaman sebenarnya ini, wujud satu panduan bersama yang kita harus ikut; iaitu lima prinsip rukun negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Pakar Perlembagaan dan Ilmuan Tamadun Islam, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain pula menegaskan kefahaman mengenai insitusi pentadbiran negara perlu difahamkan semula berdasarkan kerangka perlembagaan.
“...Kerajaan di peringkat persekutuan ialah kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kalau di peringkat negeri pula ialah kerajaan kesultanan Selangor, Terengganu, Pahang, Kelantan dan berikutnya. Perkara ini jelas dalam perlembagaan.
“Tetapi kita letakkan jenama Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Harapan, Kerajaan Idaman dan sebagainya. Seolah-olah kita ada perlembagaan baharu dan tafsiran baharu undang-undang. Kita ada sistem raja berdaulat dan keluhuran perlembagaan. Raja berdaulat memerintah mengikut perlembagaan,” jelasnya.
Dialog Tiga Penjuru: Prinsip Rukun Negara, Ujian Kematangan Demokrasi?