KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Jun ini untuk pengurusan kes saman fitnah difailkan ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap aktivis Badrul Hisham Shaharin, dan seorang pempengaruh atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu temu bual pada Mei tahun lepas.
Hakim Arziah Mohamed Apandi turut memerintahkan Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard dan pempengaruh Nurpais Ismail memfailkan pernyataan pembelaan mereka dalam masa tujuh hari bermula hari ini, dan mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan dalam tempoh 14 hari.
Terdahulu, Arziah membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah sebelum ini yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM550,000 kepada Farhash Wafa.
Kedua-dua defendan telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman bertarikh 29 Jan lepas, yang telah diberikan oleh Arziah kepada plaintif selepas perbicaraan yang dijalankan tanpa kehadiran defendan-defendan.
Penghakiman itu telah diputuskan oleh mahkamah selepas perbicaraan yang mahkamah pada masa itu telah berpuas hati bahawa penyampaian writ saman dan pernyataan tuntutan telah disempurnakan melalui serahan ganti, dan seterusnya meneruskan perbicaraan secara sebelah pihak, iaitu dengan mendengar keterangan seorang plaintif sahaja, iaitu Farhash Wafa.
Dalam keputusan hari ini, Arziah berkata mahkamah mendapati penyampaian writ saman terhadap kedua-dua defendan adalah cacat kerana defendan-defendan telah mengemukakan bukti bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang prosiding kes saman itu sehingga selepas penghakiman disampaikan pada 29 Jan 2026.
"Defendan pertama (Badrul Hisham) menafikan menerima sebarang dokumen mahkamah dan menyatakan bahawa alamat-alamat yang digunakan untuk penyampaian writ saman bukan lagi tempat kediamannya pada masa material. Beliau juga menyatakan bahawa dokumen dihantar melalui kurier telah diterima oleh individu yang tidak dikenali dan tidak diberi kuasa olehnya," kata hakim itu.
Arziah berkata mahkamah mendapati plaintif telah mengambil langkah munasabah dan menyeluruh untuk menyampaikan kertas-kertas kausa kepada defendan pertama berdasarkan alamat yang diperoleh daripada rekod prosiding terdahulu dalam kes saman berlainan di mana defendan pertama telah mengesahkan alamat-alamat tersebut secara bersumpah.
"Tindakan saman terdahulu adalah pada tahun 2024 dan mahkamah juga mendapati tiada carian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibuat oleh plaintif bagi mendapatkan alamat terkini defendan pertama yang sah berdaftar," katanya.
Menurut hakim itu, mahkamah mendapati defendan pertama telah bertindak dengan segera selepas mengetahui kewujudan penghakiman dengan memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman pada 4 Feb, iaitu beberapa hari selepas penghakiman disampaikan, dan tindakan segera itu adalah konsisten dengan pendirian defendan pertama bahawa beliau tidak mengetahui mengenai prosiding tersebut.
Berhubung penyampaian writ kepada Nurpais, hakim itu berkata defendan kedua mendakwa plaintif dalam afidavitnya menyatakan bahawa penyampaian itu dibuat melalui pos berdaftar AR, tetapi bukti hanya menunjukkan pos berdaftar biasa, bukan AR.
"Alamat yang digunakan untuk penyampaian merupakan tempat tinggal defendan kedua dari 1 Sept 2020 hingga 31 Ogos 2021 sahaja dan beliau telah berpindah sebelum writ ini difailkan. Defendan kedua turut mengemukakan salinan perjanjian penyewaan sebagai bukti.
"Mahkamah mendapati plaintif tidak pernah menggunakan kaedah penyampaian melalui komunikasi elektronik terhadap defendan kedua walaupun maklumat mengenainya boleh didapati di pautan WhatsApp dan e-mel tersedia di saluran YouTube defendan kedua.
"Defendan kedua mengetahui tentang penghakiman mahkamah melalui mesej WhatsApp daripada seorang kenalan pada 29 Jan," katanya yang turut memaklumkan tiada carian JPN dibuat oleh plaintif bagi mendapatkan alamat terkini defendan kedua yang sah berdaftar.
Selain itu, Arziah berkata kedua-dua defendan telah mengemukakan beberapa isu yang boleh dibicarakan, termasuk liabiliti terhadap kenyataan spontan temu bual, pembelaan komen adil dan isu ketiadaan niat jahat.
"Mahkamah mendapati isu-isu tersebut bukanlah rekaan semata-mata tetapi menimbulkan persoalan undang-undang, dan fakta yang memerlukan penelitian dan penentuan melalui perbicaraan penuh, khususnya dalam konteks undang-undang fitnah yang melibatkan media digital dan platform dalam talian. Ini memenuhi ambang pembelaan yang boleh dihujahkan," katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Badrul Hisham, manakala Nurpais diwakili peguam Mohd Zubir Embong. Farhash Wafa diwakili peguam Nurin Husnina Hussein.
Pada 26 Mei 2025, plaintif memfailkan saman itu atas dakwaan defendan pertama telah membuat dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya semasa temu bual yang dijalankan oleh defendan kedua pada 7 Mei 2025, yang dimuat naik ke akaun YouTube defendan kedua, antara lain membawa maksud bahawa plaintif menggunakan kedudukannya untuk mengawal dan memanipulasi syarikat-syarikat besar.
-- BERNAMA